Akar umbi marah dengan pemecatan Dr Mahathir, kata pemimpin Bersatu
Iklan
PEMIMPIN Bersatu menggesa parti menyelesaikan segera kemelut yang kini menyebabkan pengerusi mereka Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi ahli Parlimen dilucut keahlian.
Pemimpin ini berkata, ahli di peringkat akar umbi bukan sahaja jemu dengan perkembangan yang berlaku tetapi juga marah dengan tindakan dikenakan ke atas pemimpin yang dihormati mereka.
Ketua Pemuda Bersatu Pulau Pinang, Muhammad Shameer Mohamed Sulaiman berkata sentimen itu dilihat daripada 11 daripada 13 Pemuda bahagian yang menentang tindakan pemecatan tersebut.
Jelasnya, Pemuda Bersatu Pulau Pinang melihat keputusan melucutkan keahlian Dr Mahathir dan empat lagi ahli Parlimen itu jelas tidak sah mengikut perlembagaan parti.
Ini kerana kesemua ahli Parlimen tersebut masih kekal setia bersama parti, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kesemua mereka tidak pernah mengisytiharkan keluar parti mahupun menyertai mana-mana parti lain di negara ini. Mereka masih kekal bersama Bersatu,” jelasnya.
Beliau turut menggesa agar satu mesyuarat khas diadakan segera supaya parti yang terbelah dua itu dalam membentuk hala tuju yang jelas semula.
“Panggil Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi atau pun buat perhimpunan agung luar biasa untuk akar umbi nyatakan suara dan pendapat tentang hala tuju parti,” tambah beliau.
Beliau mengulas tindakan parti memecat Dr Mahathir, Mukhriz dan tiga lagi – ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).
Pemecatan melalui surat oleh Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya itu menyebut keahlian mereka dalam Bersatu “terhenti serta merta” kerana tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh presiden parti Muhyiddin Yassin.
Surat itu memberikan alasan bahawa pada sidang Parlimen pada 18 Mei lalu, kelima-lima mereka “telah menyertai dan duduk di blok pembangkang” di Dewan Rakyat, semasa mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Parlimen terbabit bagaimanapun menganggap tindakan parti mengumumkan keahlian mereka terhenti serta merta itu bertentangan dengan proses dan perlembagaan parti.
Mereka mahu mencabar keputusan tersebut di mahkamah dan menganggap alasan pemecatan disebabkan duduk di blok pembangkang itu sebagai “dangkal dan tidak munasabah”.
Lima ahli Parlimen terbabit juga menganggap tindakan itu bertentangan dengan proses dan perlembagaan parti.
Seorang ketua bahagian, Uzair Ismail pula percaya tindakan pemecatan Dr Mahathir dan lima ahli Parlimen tersebut tidak mengikut undang-undang kerana sepatutnya dikeluarkan oleh setiausaha agung.
Beliau mengulas perkembangan dan kekeliruan yang timbul apabila setiausaha kerja Muhammad Suhaimi dipecat pula daripada jawatan itu oleh Setiausaha Agung Marzuki Yahya.
Suhaimi dilaporkan dipecat beberapa jam selepas mengeluarkan surat mengenai pelucutan keahlian Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen terbabit.
Keabsahan jawatan Marzuki pula menjadi pertikaian memandangkan Muhyiddin sudahpun mengelarkan arahan menggantikan beliau dengan Hamzah Zainuddin pada pertengahan Mac lalu.
Mengulas perkara itu, Uzair yang merupakan ketua bahagian Sekijang berkata timbul pertikaian mengenai surat arahan mengenai pelucutan keahlian Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen terbabit.
Jelasnya, kuasa memecat seseorang ahli bukan di bawah bidang kuasa setiausaha kerja tetapi tugas setiausaha agung dan presiden.
Oleh itu beliau bimbang tindakan berkenaan akan mendorong kepada perpecahan dalam Bersatu.
“Setiausaha kerja, melangkaui tugas setiausaha agung dan presiden. Pada pandangan saya tak sah. Ini sengaja menimbulkan kemarahan bersifatkan perpecahan dalam Bersatu,” jelas beliau.
Beliau turut berkata, Bersatu perlu kembali kuat seperti awal-awal penubuhannya empat tahun lalu dan berharap Muhyiddin dan Dr Mahathir kembali berbaik dan dapat bekerjasama.
“Kami akar umbi mahu Muhyiddin dan Dr Mahathir bergabung semula, hilangkan persepsi dan pacu semula negara.
“Akar umbi sangat memerlukan kekuatan Tun ( Dr Mahathir sebagai pengerusi dan Muhyiddin sebagai presiden, seperti mana Bersatu mula ditubuhkan sebelum ini,” ujar beliau.
Mengulas mengenai kemelut yang timbul dalam Bersatu waktu ini, Exco Pemuda Muzammil Ismail berkata para pemimpin berkenaan perlu mengenepikan ego untuk mengelakkan parti berpecah-belah.
Katanya, mereka berharap demikian kerana ahli Bersatu menghormati Dr Mahathir dan anak beliau, Mukhriz, yang mencabar Muhyiddin untuk jawatan presiden dalam pemilihan.
“Mahathir Mohamad dan Muhyiddin ayahanda kami, Mukhriz Mahathir pula pemimpin utama kami. Saya dan ahli akar umbi yang lain merayu, ini soal kita.
“Pedulikan pihak lain. Selesaikan urusan kita. Ketepikan ego. Ahli akar umbi rata-rata sudah letih dan mengharapkan pimpinan atasan bijak dalam mengatur kuasa bersama,” kata Muzammil.
Mengulas lanjut Muzammil yang mencabar Syed Saddiq untuk jawatan ketua Pemuda Bersatu berkata parti pada masa ini sepatutnya perlu menumpukan kepada usaha mengukuhkan kerajaan.
“Tumpuan kini adalah mengukuhkan kerajaan dan kuasa yang ada bagi memastikan ahli parti terus mendapat manfaat dan rakyat sedang berharap kerajaan ini akan berkhidmat lebih baik,” jelasnya.
Tindakan Muhyiddin ke atas Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen berkenaan bagaimanapun disokong anggota Majlis Pimpinan Tertinggi seperti Dr Muhammad Faiz Na’aman.
Katanya tindakan berkenaan perlu dilakukan untuk membersihkan parti dan percaya Bersatu akan semakin kuat selepas dapat berkuasa bersama Umno dan PAS.
“Bersatu dalam proses pemulihan, pembersihan dan penyatuan kembali ahli-ahlinya. Ber masih utuh setelah mereka yang melanggar perlembagaan parti tersebut terlucut keahliannya.
“Bersatu telah pun selamat apabila keluar dari PH dan menubuhkan kerajaan PN. Bersatu akan terus memainkan peranan penting dalam menjayakan proses pendaftaran PN demi kestabilan politik Melayu-Islam,” tambahnya. – 1 Jun Mei, 2020.