Iklan

Pengusaha runsing, dobi tradisional tak dapat berjalan kerana PKP

Zaim Ibrahim4 years ago8th Jun 2020Berita
Dobi 1
A. Raman sedang mencuci pakaian di dalam kolam berisi air sejuk dan dibancuh dengan air sabun di kedainya di Kampung Dhobi Ghaut di Jalan York di Georgetown. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Jun 2020.
Iklan

TIGA dekad lalu, A Raman memulakan kerjaya dalam industri dobi dengan membantu ayahnya mengambil dan menghantar kain untuk dibasuh secara tradisional.

Pada waktu itu, beliau tidak terfikir perniagaan dobi tradisional akhirnya menjadi satu karier sehinggalah beliau menggantikan ayahnya.

Beliau berbangga kerana masih boleh menyaraka keluarganya dengan pekerjaan itu walaupun perlu bersaing dengan perkhidmatan dobi lain yang canggih.

Namun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, Raman kini runsing kerana perniagaannya tidak dapat berjalan seperti biasa.

“Boleh kata tutuplah. Kita hanya cuci pakaian sikit, cukup-cukup makan sahaja. Jika dulu saya pergi rumah ke rumah ambil pakaian tetapi kerana PKP, kita tak boleh keluar.

“Tak boleh keluar tak boleh jalanlah,” kata beliau.

A Raman tahu kerajaan memberi bantuan kepada peniaga pelbagai sektor tetapi kerana beliau berniaga tanpa lesen, beliau tidak dapat menikmati bantuan itu.

“Kita meniaga tidak ada lesen. Kita cara tradisional saja.

“Sekarang saya pening kepala macam mana mahu pelbagai tanggungan. Nak buka bisnes macam biasa pun susah sebab orang tak ramai hantar baju,” jelasnya.

Pakaian dikumpulkan sebelum dicuci. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Jun 2020.

Perniagaan yang terletak di Kampung Dhobi Ghaut di Jalan York di Georgetown itu diwarisi turun-temurun daripada bapa dan datuknya yang berhijrah dari India sekitar tahun 1900-an.

“(Perniagaan ini) turun kepada bapa saya. Waktu dahulu, kos sehelai baju kita ambil 10 sen sahaja.

“Ketika berusia 20-an, saya bekerja sebentar di sebuah kilang tetapi tidak lama, saya sambung perniagaan dobi ini kerana anggap ia satu warisan keluarga,” katanya.

Kata beliau, sekitar tahun 1970-an terdapat lebih daripada 100 pengusaha dobi tradisional di seluruh Pulau Pinang dan mereka mendapat pelanggan daripada pelbagai bangsa.

Tetapi kini, dobi itu hanya tinggal sejarah kerana kini sekitar tiga atau empat pengusaha dobi tradisional sahaja masih berniaga.

Ketika ditemui The Malaysian Insight, lelaki berusia 58 tahun itu masih bertenaga mencuci pakaian pelanggannya walaupun prosesnya rumit.

Semua proses cucian dilakukan dengan tangn bermula dengan membasuh di dalam kolah buatan sendiri, dan di dalam air panas yang menggunakan bahan bakar arang batu.

Kini, A Raman mengenakan bayaran antara RM2 hingga RM2.50 untuk setiap helai baju bergantung kepada latar belakang pelanggannya.

Beliau tidak akan mengenakan bayaran mahal terhadap keluarga yang miskin dan jika daripada keluarga yang berada, mereka sendiri sering membayar lebih kepada Raman.

Raman mengakui, kewujudan dobi mesin yang boleh beroperasi 24 jam kini lebih menjadi pilihan, tetapi bertegas bahawa dobi tradisional mempunyai kelebihan yang tersendiri.

“Jika basuh baju dalam mesin di kedai, baju itu kadang-kadang tidak cukup bersih kerana mereka bukan selalu tukar alat penapis.

“Perkara ini boleh buat badan gatal-gatal, tetapi kita basuh ikut prosedur yang rapi.

“Mula-mula, kita basuh baju-baju dengan air yang sejuk, kemudian kita rebus baju dalam air panas. Dengan air panas, kuman-kuman dapat dibunuh dan buang segala kekotoran,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata beliau turut dibantu oleh seorang pekerja, A Kanhapathi, 58, yang dibayar upah RM40 sehari.

Raman memberitahu, proses cucian dobi itu mengambil masa lama iaitu empat hingga lima hari kerana beliau mempunyai banyak pakaian.

Jika pada musim hujan lebat, proses itu akan menjadi lebih lama, katanya.

Menurut A Raman, proses kerjanya bermula seawal 6.30 pagi setiap Sabtu, Ahad, dan Isnin apabila beliau mengambil pakaian yang hendak dibasuh oleh pelanggannya.

Proses cucian bermula pada Isnin petang dengan membasuh pakaian menggunakan air sejuk yang telah diadun dengan sabun.

Seorang pekerja, A.Kanhapathi sedang mencuci pakaian secara tradisional dengan menggunakan tangannya. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Jun 2020.

Bagi sesetengah baju seperti baju kemeja, baju tradisional, dan baju berjenama,  ia akan dibawa masuk ke dalam sebuah dapur buatan sendiri.

Ia bertujuan merendam pakaian itu dengan air panas, yang dimasak menggunakan arang batu selama satu jam.

Pakaian itu kemudiannya akan dibasuh dengan air sejuk sekali lagi, dan Raman dan pekerjanya akan memberus pakaian tersebut dengan tangan.

Selepas itu, barulah pakaian tersebut akan dibawa masuk ke dalam mesin untuk menyejatkan air, katanya.

Pakaian itu seterusnya akan disidai sehingga kering dan dilipat pada hari Selasa. Semua pakaian itu kemudiannya akan diseterika terlebih dahulu.

Menjelang Jumaat, Raman akan dapat menghantar pakaian tersebut kepada pelanggan dan mengambil pakaian lain untuk dicuci.

Katanya, walau kerja tersebut nampak mudah, ia memerluikan kudrat yang kuat sepanjang masa. sentiasa sibuk.

“Kita kerja tujuh hari seminggu, saya gembira dengan kerja ini. Tidak anggap sebagai tugas yang membebankan.

“Sekarang saya rasa lega, dengan pekerjaan ini saya dapat membesarkan ketiga-tiga anak dan boleh tampung kehidupan kami sekeluarga,” ujar beliau.

Saingannya pada masa ini adalah perkhidmatan dobi layan diri yang menyebabkan pelanggan semakin berkurangan.

“Tetapi kita banyak bergantung kepada pelanggan tetap kerana masih ramai yang yakin dengan perkhidmatan kita,” katanya yang mampu mengaut keuntungan sekitar RM1,000 sebulan.

Ditanya siapakah yang bakal mewarisi perniagannya itu, Raman berkata mungkin tiada siapa lagi yang dapat mengerjakannya dan dobi tradisional tersebut mungkin akan terkubur begitu sahaja.

“Mahu buat sebagai warisan pun, ahli keluarga saya tidak ada lagi yang berminat.

Mereka anggap pekerjaan ini susah, kita kena bekerja di tengah-tengah panas. Untung pun tidak banyak mana,” tambahnya. – 8 Jun, 2020.

Iklan
Iklan