Iklan

Malaysia perlu model Islam sederhana sendiri, junjung demokrasi dan tolak rasuah

Radzi Razak7 years ago28th Nov 2017Berita
Democratic transition conference tmikamal 10
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Maszlee Malik berkata sifat Malaysia yang unik dengan komposisi kaum dan budaya pelbagai memerlukan satu model politik Islam sederhana berteraskan keadilan, kesaksamaan dan keutuhan hak asasi manusia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 November, 2017.
Iklan

SUDAH sampai masanya Malaysia mempunyai model politik Islam sederhana sendiri dan tidak lagi mengikut acuan pemimpin Islam terutamanya dari Asia Barat, kata pengkaji gerakan Islam.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Maszlee Malik berkata sifat Malaysia yang unik dengan komposisi kaum dan budaya pelbagai memerlukan satu model politik Islam sederhana berteraskan keadilan, kesaksamaan dan keutuhan hak asasi manusia.

Beliau menyimpulkan demikian selepas membentangkan kertas kajiannya mengenai pengaruh tokoh cendekiawan Tunisia, Rashid Ghannouchi terhadap Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ikram, Amanah, dan DAP.

“Saya ada pemerhatian sendiri mengenai Rashid Ghannouchi, masanya sudah tamat untuk kita lihat model Timur Tengah.

“Kita perlu bangunkan model kita sendiri (kerana) kita pelbagai agama dan kaum. Situasi Malaysia unik dan tidak boleh dibandingkan dengan Timur Tengah termasuk Turki.

“Mereka ada realiti mereka sendiri, di Malaysia kita perlukan model kita sendiri,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Transisi Demokratik Dunia Islam kelima di Kuala Lumpur, hari ini. 

Dapatan kajian beliau melihat bagaimana pengaruh pemikiran Ghannouchi dan jaringan Parti Ennahda pimpinannya berjaya menyatukan prinsip demokrasi tanpa mengabaikan prinsip Islam yang mementingkan keadilan, menolak korupsi dan menjaga minoriti bukan Islam selepas Kebangkitan Arab pada awal tahun 2000.

Menurut Maszlee, pengaruh Ghannouchi mengubah organisasi seperti Ikram yang dahulunya dikenali sebagai Jaringan Islam Malaysia (JIM) — meniru organisasi Ikhwanul Muslimin yang mahukan kepimpinan khalifah kepada organisasi yang mendukung demokrasi.

Katanya, bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai tokoh Muslim sederhana ketika tahun 90-an dahulu banyak membawa gerakan seperti Ikram dan ABIM untuk condong ke arah demokrasi ketika itu.

“Kebanyakan idea Anwar tentang Islam seperti masyarakat madani, dialog Islam dengan barat dan lain-lain memberi ABIM pendekatan kepada pendekatan politik Islam di peringkat tempatan.

Bagaimanapun, ABIM mendukung Ghannouchisme kerana Anwar tiada gerakan seperti Ennahda dan bergerak ketika itu dalam Umno.

“Ikram pula ketika itu JIM, memang mempunyai sejarah aktivisme Islam sejak 1970-an kemudian dibawa Anwar ketika menjadi TPM pada 1990-an untuk memperkenalkan Islam demokrasi.

“Bila Ghannoucisme hadir, ia membawa pendekatan politik rakyat, dan Ikram sendiri bertukar kepada NGO masyarakat sivil yang politikal tapi bukan parti politik,” kata beliau.

Menariknya, kajian beliau turut mendapati parti yang ditubuhkan penyokong Anwar sendiri, PKR tidak mengikut Ghannouchi kerana naratif Anwar sendiri.

“Keadilan dan kemudiannya PKR tidak membawa Ghannouchisme. Ini kerana mereka ada Anwar sendiri.

“Anwar telah ada lama sebelum Ghannoucisme pada awal 2000,” kata beliau.

Maszlee berkata paling menarik, DAP merupakan parti politik paling lambat mengenali pendekatan Ghannouchi tetapi menjumpainya dalam proses “belajar” mengenal politik.

Beliau berkata, pemimpin DAP Lim Kit Siang sendiri menganggap Ghannouchisme sebagai “evolusi” dan masa depan politik Malaysia dengan dukungan rakyat majoriti Muslim menjunjung prinsip demokrasi tanpa dikekang hal bangsa, agama dan korupsi.

“Perkenalan DAP agak baru, kerana Arab Spring (berlaku), mereka menjumpai Ghannouchi dan Ennahda. Mereka (Ennahda) bercakap dan mendukung demokrasi dengan telus. 

“Ia memberi kesan kepada DAP. Kerana itulah mereka menghantar delegasi ke Tunisa bertemu Ghanouchi yang diketuai oleh Lim Kit Siang sendiri,” katanya

Mengenai Umno pula, Maszlee berkata parti itu gembira dengan “cara politik Islam mereka”.

Bagaimanapun, Maszlee berkata beliau akan gembira sekiranya Umno sendiri memeluk pendekatan Ghanouchism.

“Saya tak pernah dengar Najib (Razak) atau Zahid Hamidi bercakap mengenai Ghannouchism. Mereka gembira dengan politik Islam mereka.

“Umno patut menerima Ghanouchism. Ghanouchism menolak kleptokrasi dan korupsi,” kata beliau sinis.

Persidangan dua hari anjuran Pertubuhan Istanbul Network for Liberty dengan kerjasama Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengumpulkan lebih 50 tokoh-tokoh daripada negara majoriti Islam yang menyokong demokrasi untuk membentangkan kertas kerja dan kajian berkaitan negara Muslim dan prinsip-prinsip demokrasi.

Antara negara yang menghantar wakil ialah Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Turki dan ucaptama diberikan Setiausaha Agung antara organisasi Islam terbesar di rantau ini Naudhatul Ulama - Yahya Cholil Staqul. – 28 November, 2017.

Iklan
Iklan