Iklan

Politik agama bahayakan negara dan masyarakat, kata pensyarah

Radzi Razak7 years ago29th Nov 2017Berita
Maszlee Malik tmikamal 09
Kedudukan ulama adalah sebagai pemantau untuk menegur pemerintah tanpa gentar bukan bertanding jadi pemimpin, kata Dr Maszlee Malik semalam pada Persidangan Antarabangsa Istanbul Network Transisi Demokratik Dunia Islam kelima di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 November, 2017.
Iklan

POLITIK yang menggunakan agama amat bahaya kepada negara dan masyarakat kerana agama yang dipolitikkan selalu akhirnya memperalatkan orang ramai, kata Dr Maszlee Malik.

“Tak kira apa nama parti, parti Islam atau tidak, yang penting ialah memperjuangkan hak asasi, keadilan dan kesaksamaan, mengelak tirani, kleptokrasi dan rasuah,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Beliau yang membuat kajian gerakan Islam dunia memberikan pandangannya pada Persidangan Antarabangsa Istanbul Network Transisi Demokratik Dunia Islam kelima di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Maszlee, ulama tidak sepatutnya masuk politik untuk bertanding dan bersaing dalam pilihan raya kerana mereka ada tempat yang tersendiri dalam politik, berdasarkan sejarah pemerintahan Islam.

Jelas beliau, tempat ulama adalah sebagai pemantau yang akan menegur pemerintah tanpa gentar, walaupun kehilangan harta, kebebasan atau nyawa.

“Mereka tidak bertanding untuk menjadi pemimpin tetapi mereka bertindak menegur pemimpin sekiranya salah.

“Dulu ada orang seperti Ibnu Taimiyah, Nizamul Muluk dan ramai lagi yang selesa menyebarkan ilmu di luar pemerintahan, sehingga ada di kalangan mereka yang dipenjara, dihukum kerana bercakap menentang pemerintahan.

“Jadi, Muslim scholars sekarang, kami tak mahu kamu bertanding. Kami mahu kamu semua bercakap kalau ada salah. Biarlah mungkin tak dapat kereta mewah, kami mahu kamu pertahankan kebenaran,” katanya.

Walaupun tidak menyebut mana-mana parti politik, Maszlee dilihat memberi sindiran terhadap PAS yang menyatakan prinsip politik matangnya yang mahu jadi penasihat kepada pemerintah selepas keluar dari pakatan pembangkang dua tahun lalu.

Maszlee membentangkan kertas kerja beliau mengenai pengaruh tokoh pemikir Tunisia, Rashid Ghannouchi dan jaringan gerakan Ennahda pimpinannya terhadap parti politik dan gerakan Islam di Malaysia.

Pensyarah itu berkata prinsip gerakan Ghannouchi dituduh sebagai sekular oleh pihak tertentu selepas beliau memberi sokongan terhadap Beji Caid Essebsi dari parti sekular pada pilihan raya Tunisia pada 2014 dan mengekang permintaan pelaksanaan undang-undang syariah daripada golongan Islam konservatif negara itu.

Persidangan dua hari anjuran Pertubuhan Istanbul Network for Liberty dengan kerjasama Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu mengumpulkan lebih 50 tokoh dari negara majoriti Islam yang menyokong demokrasi yang membentangkan kertas kerja dan kajian berkaitan negara Muslim dan prinsip-prinsip demokrasi.

Antara negara yang menghantar wakil ialah Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Turki dengan ucaptama disampaikan Setiausaha Agung Nahdlatul Ulama Indonesia, Yahya Cholil Staqul, antara organisasi Islam terbesar di rantau ini. – 29 November, 2017.

Iklan
Iklan