Iklan

Ateis ada hak hidup di Malaysia, kata gerakan ateis Malaysia

Melati A. Jalil7 years ago29th Nov 2017Berita
11741108 881743801912480 6398581562162730333 o
Sebagai rakyat yang bayar cukai dan patuh dengan undang-undang dalam masyarakat, ateis ada hak untuk hidup bersama dan dijamin untuk hidup aman damai dengan rakyat dan penduduk Malaysia. – Gambar Facebook, 29 November, 2017.
Iklan

KUMPULAN ateis Malaysia tidak takut dengan “ancaman dan serangan tidak berasas” oleh pihak berkuasa terhadap mereka, malah bertegas mereka ada hak di sisi perlembagaan untuk hidup aman damai bersama rakyat Malaysia.

Humanis Sekular dan Ateis Malaysia (MASH) berkata, perkembangan terbaharu yang menyelar rakyat yang tidak beragama sebagai pembawa kekacauan dalam masyarakat sangat membimbangkan.

Namun, itu bukan penyebab bagi MASH untuk berdiam diri.

“Ancaman dan serangan tidak berasas itu tidak ganggu atau memaksa kami dari pupus.

“Pertikaian dan percanggahan pendapat sepatutnya dibawa berunding, bukannya dengan menindas,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.

“Sebagai rakyat yang bayar cukai dan patuh dengan undang-undang dalam masyarakat, ateis ada hak untuk hidup bersama dan dijamin untuk hidup aman damai dengan rakyat dan penduduk Malaysia.

“Hak-hak asas ini mutlak dan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh mana-mana individu dalam jabatan kerajaan,” katanya.

Bahasa mudahnya, ateisme bermaksud menolak kepercayaan adanya tuhan atau dewa-dewi.

Minggu lalu di Parlimen, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ateisme tidak dibenarkan wujud langsung di Malaysia kerana berlawanan dengan prinsip percaya pada Tuhan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

Pada Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim berkata ateis patut “diburu” kerana mereka ini tak sesuai berada dalam masyarakat Malaysia.

Sebagai respon, MASH berkata, mereka yang mempersoal dan mencabar kepercayaan agama ini sebenarnya telah wujud sejak awal tamadun manusia lagi dan akan sentiasa wujud.

“Manusia menolak kepercayaan (beragama) atas banyak sebab, bukan kerana campur tangan pihak berkuasa. Perlu diingat bahawa ateisme bukan kepercayaan terhadap sistem sahaja.

“Ramai ateis yang percaya kepada idea falsafah seperti humanisme, sains dan penggunaan akal (logik). Antara ketiga itu, tidak ada yang berlawanan atau mengundang masalah kepada masyarakat,” katanya.

Asyraf yang menjawab soalanAhli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud berkata, adalah tidak konstitusional (berperlembagaan) untuk menyebarkan fahaman yang boleh “membuatkan orang meninggalkan agama atau mengaku tidak beragama.”

Siti Mariah yang menyoal Asyraf itu berkata, beliau akui bahawa kepercayaan adalah urusan peribadi tetapi perkara itu dibangkitkan kerana bimbang terhadap masyarakat Islam di Malaysia.

“Ia adalah pilihan peribadi, tiada siapa boleh cakap tentang itu, tetapi bila awak mula bermain isu ini, ia akan menarik majoriti senyap dan akan menyebabkan banyak bantahan terutamanya dari kalangan Melayu Islam yang sensitif dengan hal ini.

“Tapi saya tak percaya dengan kaedah memaksa orang, saya percaya dengan mengajar, membibing dengan orang ramai. Kita erlu kaji, kita tak boleh terus ambil tindakan, kita kena tahu kenapa perkara ini terjadi,” katanya. – 29 November, 2017.

Iklan
Iklan