3 bulan tiada pendapatan, penarik beca George Town bergantung sumbangan makanan
Iklan
LEBIH 300 penarik beca di Pulau Pinang sekarang hanya menunggu bantuan makanan percuma selepas terputus sumber pendapatan sejak hampir tiga bulan lalu, sejak kerajaan menguatkan pelbagai sekatan bagi menyekat penularan Covid-19.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, mereka mampu meraih sekurang-kurangnya RM50 sehari namun sekarang bergantung hidup pada sumbangan makanan daripada sukarelawan dan penderma.
Tong Beng Huat, 68, antara penarik beca yang terjejas, berkata beliau sekarang menunggu di becanya di Jalan Penang, di George Town, mengharapkan ada pihak tampil menghulurkan bantuan makanan.
“Sudah 40 tahun saya bawa lanca (beca) dan ini pertama kali, tiga bulan kita tiada langsung penumpang dan pendapatan. Nak makan pun susah.
“Setiap hari saya duduk dalam lanca tunggu orang bagi makanan percuma. Duit bantuan saya beli buat makanan tetapi makin sedikit,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di George Town, minggu ini.
Jalan Penang merupakan antara kawasan tumpuan pelancong yang lazimnya menaiki beca untuk mendapatkan pengalaman lain melihat persekitaran zon warisan di George Town.
“Sejak Mac, kita hilang pelancong dari China, Korea Selatan, dan Taiwan kerana PKP. Orang tempatan pun tak boleh keluar jadi kami hanya duduk saja walaupun tahu tiada pelanggan,” tambahnya.
Jelas Tong, hampir setiap hari akan ada badan kebajikan datang memberi mereka makanan. Bagi hari yang tiada sesiapa datang memberi bantuan, mereka menggunakan wang daripada bantuan kerajaan.
Seorang lagi penarik beca Husin Pitchay, 47, berkata beliau lebih suka mencari pelanggan daripada duduk saja mengharapkan bantun, namun mereka sudah tiada pilihan.
“Orang tempatan memang sudah lama tak naik beca, jadi kita 100% bergantung kepada pelancong.
“Dalam keadaan begini, saya pun tunggu orang bagi makanan sahaja,” katanya, yang membawa beca sejak lima tahun lalu.
Jelas Husin, rata-rata pembawa beca menerima bantuan tunai sehingga RM1,100 setakat ini, tetapi itu tidak menampung keperluan hidup mereka sepanjang tiga bulan ini.
“Duit itu kami guna secara jimat cermat. Guna pun untuk makan, bilik sewa, bil air dan elektrik.
“Nak kerja lain pun bukan senang sekarang,” katanya.
Rata-rata penarik beca yang ditemui juga mengakui mereka bergantung pada bantuan daripada kerajaan pusat dan negeri.
Pada awal April, kerajaan Pulau Pinang memberikan bantuan tunai RM500 seorang kepada semua penarik beca di negeri itu, sementara Putrajaya memberi mereka RM600. Bantuan Putrajaya diberikan selepas penarik beca turut dikelaskan sebagai pemandu pelancong.
Mengikut rekod kerajaan negeri, terdapat 329 penarik beca yang berdaftar di Pulau Pinang, yang dilaporkan mempunyai purata pendapatan antara RM600 hingga RM1,000 sebulan.
Bantuan tidak cukup
Pengerusi Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latif Mohd, 73, berkata bantuan kerajaan negeri pada April lalu adalah rangkuman bayaran bagi tiga bulan sehingga Jun yang dibayar sekali gus, serta ditokok RM200.
Penarik beca di Pulau Pinang sebelum ini menerima elaun bulanan RM100 setiap seorang, bantuan yang mula diberi sejak 2010. Elaun itu dibayar secara mingguan.
“Saya beritahu rakan-rakan, jangan seronok sangat dengan bantuan RM500 sebab ia hanya tambahan RM200 daripada elaun bulanan kita.
“Saya pun rasa susah, mujur ada anak-anak yang membantu. Untuk dua tiga bulan lagi, macam mana dengan kami?” soal beliau.
“Kerajaan negeri perlu tambah bantuan kepada kami, jika industri pelancongan masih belum dibenarkan dalam tempoh PKP,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi penarik beca Awang Man, 73, berkata walaupun ada banyak bantuan makanan namun beliau secara peribadi was-was akan status halal dan kebersihannya, terutamanya jika ia disumbangkan oleh badan bukan Melayu.
“Tak berani nak ambil takut tak halal. Kumpulan Melayu ada lah bagi makanan terutama waktu bulan puasa,” katanya.
Beliau menambah buat masa ini urusan makanan hariannya banyak bergantung pada wang bantuan daripada kerajaan.
“Makan lebih kurang saja, tak mewah,” katanya, yang juga menanggung sewa bilik RM170 sebulan.
Awang berharap perintah kawalan pergerakan yang dijadual berakhir pada 9 Jun ini tidak akan disambung lagi.
“Susah kami yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang nak cari wang.
“Buat kerja lain pun umur dah tua, siapa mahu ambil bekerja dalam usia macam ini,” katanya.
Semasa ditemui The Malaysian Insight, Awang duduk menunggu pelanggan di Prangin Mall walaupun tahu selalunya tiada pelanggan.
“Saya tunggu hari-hari sampai 7 malam.. duduk rumah pun bukan buat apa-apa.
“Memang tiada pelanggan, tapi tunggu sahajalah kalau-kalau ada rezeki,” tambahnya. – 7 Jun, 2020.