Iklan

Perkhidmatan van luar biasa, dari OKU untuk mereka yang memerlukan

Zaim Ibrahim4 years ago5th Jun 2020Berita
Oku 03062020 tmi 07
Sepasang sahabat OKU, Peter Teoh dan Lily Looi bergabung menawarkan perkhidmatan van untuk golongan OKU pada harga amat berpatutan di Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.
Iklan

PETER Teoh, 44, dilahirkan dengan cerebral palsy, namun kekurangan itu menjadi kelebihan, untuk beliau menabur khidmat kepada mereka yang memerlukan.

Bersama seorang rakan Lily Looi, 55, yang menggunakan kerusi roda ketika berusia empat tahun, mereka bekerjasama membina satu perniagaan – menyediakan khidmat penghantaran menggunakan van untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, dan sesiapa saja yang sukar untuk bergerak sendiri.

Kini kedua-dua insan istimewa itu mampu menjalani hidup normal tanpa perlu dibantu, malah mereka pula memberi bantuan kepada orang lain.

Lily yang bertindak sebagai penterjemah Peter memberitahu, rakannya itu hidup berdikari sejak kecil dan mempunyai hobi membawa kereta.

“Peter mula belajar memandu pada usia 11 tahun daripada anak saudaranya yang muda setahun daripadanya.

“Pada umur 18 tahun, beliau sudah mengambil lesen memandu. Pada awalnya tiada sekolah memandu yang mahu terima beliau tetapi akhirnya, sebuah sekolah memandu di Butterworth sudi mengambilnya sebagai pelajar dan berjaya mendapatkan lesen,” katanya.

Lily, bekas penghidap penyakit polio hingga menyebabkan tidak boleh berjalan pada usia empat tahun memberitahu, idea untuk membina perniagaan Amazing Van datang daripada Peter sendiri.

“Kami bermula pada 2012. Beberapa tahun sebelum itu, Peter selalu meminjam kereta saya untuk membawa rakannya yang OKU untuk bersiar-siar.

“Walaupun boleh membawa kereta,  tetap susah untuk orang OKU lebih-lebih lagi yang memerlukan kerusi roda.

“Dari situ dia terfikir alangkah baik jika ada satu perkhidmatan khas untuk membawa OKU. Kebetulan ada van terpakai yang siap dipasang dengan lif mengangkat kerusi roda, jadi kami nekad membelinya.

“Bagaimanapun, pihak bank tidak luluskan permohonan pinjaman kami kerana status OKU. Mujur, pengerusi Rumah Amal Cheshire sanggup beli van itu dan kami berhutang dengannya.

“Daripada situ, bisnes Amazing Van bermula,” kata Lily, menterjemah penjelasan Peter.

Kerana cerebral palsy, Peter tidak boleh bercakap dengan baik dan beliau juga berjalan menggunakan skuter. Tetapi, beliau mempunyai kelebihan membawa kenderaan termasuk gear manual.

Peter berperanan sebagai pemandu dan Lily mengambil tempahan. Mereka hanya membawa van itu di sekitar Georgetown dengan caj RM40 untuk setiap satu penghantaran pergi dan balik.

“Orang hanya telefon saya untuk buat tempahan di nombor 016-4749200.

“Kebanyakan pelanggan adalah mereka yang perlukan rawatan dialisis, sakit tua dan pengguna kerusi roda.

“Van kita boleh muatkan tiga orang, kadang-kadang kita bawa seorang pelanggan saja dan kadang-kadang ada ditemani keluarga yang lain,” tambahnya.

Peter Teoh, walaupun menghidap cerebral palsy beliau boleh memandu kereta dan van, serta menggunakan skuter untuk bergerak. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

Peter dan Lily merupakan sahabat karib sejak mula berkenalan di Rumah Amal Cheshire, ketika Peter masih belasan tahun.

Rumah amal itu merupakan sebuah pertubuhan amal yang memberi fokus mendidik dan menjaga golongan OKU pelbagai kategori.

Setelah sekian lama berkawan rapat, Lily boleh memahami percakapan Peter walaupun dengan suara yang tidak jelas dan menggunakan bahasa tangan.

Peter, anak jati Bukit Mertajam,  masih gagah cuba bercakap dan peramah ketika ditemui The Malaysian Insight di Taman Seri Hijau, Jalan Van Praagh.

“Peter pernah melakukan pelbagai pekerjaan. Pernah jual kad loteri, jual aksesori telefon bimbit di Lorong Kulit. Tetapi bekerja sebagai pemandu van paling seronok untuk dirinya.

“Saya juga sebelum ini bekerja di sebuah syarikat sebagai penyambut tetamu selama 20 tahun,” katanya.

Menurut Lily, setiap hari mereka boleh mendapat hingga lima atau enam pelanggan. Mereka beroperasi daripada 8 pagi hingga 6 petang.

“Ahad kita cuti. Hari bekerja hari yang sibuk untuk kami kerana waktu itu banyak temu janji dengan hospital.

“Sebulan, kami dapat RM1,000 lebih tetapi perlu ditolak dengan kos minyak RM600. Memang kami tak untung banyak tetapi kita boleh cari makan tanpa harapkan bantuan orang.,” katanya.

Perkhidmatan akan dikembangkan

Bulan lalu, beliau baru saja menerima sumbangan sebuah van daripada seorang individu, yang juga telah memasang lif untuk membawa naik kerusi roda.

Lily berkata beliau akan mencari seorang pemandu van untuk mengembangkan perkhidmatan itu ke Seberang Perai.

“Kita sedang mencari seorang pemandu van. Van kedua ini akan kita kembangkan hingga ke Seberang Perai dan mungkin sempadan Kedah-Pulau Pinang.

“Caj belum ditetapkan lagi, tetapi mungkin lebih mahal sedikit,” katanya.

Ditanya bagaimana perkhidmatannya diberi nama Amazing Van, Lily berkata ia kerana perkhidmatan mereka sangat luar biasa.

“Awak pernah tengok orang OKU bawa van? Mesti tidak pernah, kan?

“Sebab itu nama kami Amazing Van,” katanya.

“Orang mungkin risau dengan kekurangan fizikal Peter tetapi pemanduan dia sangat cekap. Peter boleh membaca GPS dengan baik dan mudah hafal jalan.

“Van kami ini kadang-kadang perlu diservis di Kuala Lumpur, jadi Peter yang akan memandu dari Pulang Pinang hingga ke KL untuk membaiki van terutama jika ada kerosakan di bahagian lif,” jelas Lily. – 5 Jun, 2020.

Iklan
Iklan