Iklan

Asal sampah jadi duit

Zaim Ibrahim4 years ago7th Jun 2020Berita
Salam 5
Antara aktiviti Kelab Sahabat Alam Langkawi (Salam) adalah mengumpul sampah sarap untuk dikitar semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2020.
Iklan

JIKA orang lain melihat kayu-kayan atau kipas dinding di tapak pelupusan sampah sebagai bahan terbuang, seorang pemuda di Langkawi sebaliknya nampak ada hasil pendapatan yang boleh dijana daripada sampah.

Sampah seperti itu biasanya dibuang sahaja oleh pemilik, namun bagi Abdul Quayyum Abd Nashir, 34, beliau tidak boleh pejam mata kerana merasakan ada sesuatu yang rugi kerana sampah seperti itu baginya, bernilai.

Dengan semangat itulah, sejak 2009, Quayyum dan kawan-kawannya mula mengutip bahan terbuang yang masih boleh digunakan, tidak kira sama ada di pantai, depan rumah orang, mahupun di tong sampah yang baunya meloyakan.

“Pada waktu awal, kadang-kadang kita ketuk pintu rumah orang untuk minta izin ambil sampah-sampah yang mereka longgokan depan rumah.

“Sayang kita tengok apabila ada kipas, sofa, dan meja lama yang masih boleh dipakai walaupun uzur. Orang ramai pun bagi kerjasama sebab mereka pun suka, kita tolong bersihkan sampah-sampah itu,” katanya.

10 tahun kemudian, Quayyum dan rakan-rakan menubuhkan Kelab Sahabat Alam Langkawi (Salam) yang antara aktivitinya mengutip bahan terbuang yang kemudian dicipta semula menjadi barangan baharu.

Menurut Quayyum, aktiviti yang dilakukan pihaknya sekarang perlukan satu tindakan drastik kerana tapak pelupusan sampah di Kilim semakin besar.

Kalau dibiarkan, Langkawi yang indah akan penuh dengan sampah – terutama sisa komersial daripada industri pelancongan, katanya.

Abdul Quayyum Abd Nashir, 34, dan kawan-kawan sejak 2009 mula mengumpul sampah sarap sekitar Langkawi dan mengitarnya semula. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Jun, 2020.

Dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insight di Pantai Tengah, Langkawi, Quayyum berkata Salam komited untuk menyedarkan orang ramai khususnya penduduk Langkawi supaya menjaga kebersihan dan kelestarian pulau legenda itu.

“Kebanyakan barangan yang kami jumpa, kami baiki atau buat alatan baharu seperti lampu, barang perhiasan, dan juga perabot, dapat berjimat daripada beli yang baru.

“Tapi tujuan utama kita ialah membina kesedaran kepada orang Langkawi tentang bahaya kalau sampah ini dibuang begitu sahaja.

“Tidak kira orang muda atau orang tua, masyarakat kita secara keseluruhan tidak faham tentang pentingnya kita buang sampah secara lestari, untuk pulau kita juga,” katanya yang juga pencetus utama idea penubuhan Salam.

Selain aktif dalam aktiviti alam sekitar, Quayyum turut mengusahakan sebuah motel dikenali sebagai Jah Hut Dormitory, dekat Pantai Cenang.

Di motel ini, beliau membawa beberapa barangan terpakai yang dibaiki dan dibina semula menjadi barangan baharu.

Antaranya sebuah komputer terpakai, lampu daripada tong gas terbuang, kayu-kayu rosak dicantum semula sebagai dinding, serta kipas lama yang dibaiki dan digunakan semula.

Barang-barang itu dikutip ketika beliau melakukan aktiviti pembersihan di tepi pantai dan kawasan hutan, katanya.

Menurut Quayyum, beliau pada awalnya bergerak secara sukarela sahaja tetapi mula daftar dibawah Pertubuhan Pendaftaran supaya aktivitinya dapat dicontohi orang ramai.

“Saya daftar sebagai NGO supaya orang ramai akan ikut serta dan kembangkan kesedaran ini kepada seluruh Langkawi. Salam sendiri ditubuhkan atas semangat anak muda Langkawi untuk jaga pulau ini.

Syukur sebab setakat ini, bukan sahaja orang Langkawi yang sertai kami malah pelancong luar negara yang menetap di motel kami juga ikut sebagai aktiviti sampingan mereka,” tambah beliau.

Antara sampah sarap yang dikutip untuk dikitar semula menjadi barangan baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2020.

Hampir setiap bulan, Salam akan mengadakan aktiviti pembersihan pantai dan hutan di sekitar Pulau Langkawi untuk mengutip barangan-barangan terpakai.

Dalam setiap program itu, hampir 50 orang termasuk ahli-ahli Salam turut serta membersihkan kawasan yang berpotensi mempunyai longgokan sampah.

Kemudian, barangan itu akan direka semula menjadi barangan baharu mengikut kreativiti masing-masing.

Sepanjang tahun lalu, Salam berjaya mengutip sampah sebanyak 1.3 tan dengan anggaran 100kg hingga 200kg setiap minggu.

Tahun ini pula, Salam berharap dapat mengutip 20,000 kg sampah dan juga 2,020 pasang pakaian dan kain denim lama.

“Kita adakan projek  dinamakan sebagai Salam Langkawi Collection Centre (SLCC) iaitu membina satu pusat pengumpulan sampah yang sistematik.

“Idea saya,kita asingkan sampah ikut kategori seperti plastik, kaca, atau barangan yang masih boleh dipakai. Kita akan pilih ibu tunggal dan keluarga yang susah untuk bekerja dibawah SLCC dan latih mereka cipta kraftangan.

“Kemudian peserta kita dapat jana pendapatan sampingan walaupun bermula daripada sampah yang orang anggap tiada nilai,” jelasnya yang turut memberitahu projek itu akan bermula di sebuah kampung di Ayer Hangat, Langkawi.

Dinding tandas di Jah Hut Dormitory ini dibina daripada kayu-kayu terbuang yang dicantum semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2020.

Projek itu pada awalnya bermula pada Mac namun terpaksa ditangguhkan atas isu teknikal.

“Apabila orang-orang kampung sedar mereka boleh buat duit dengan sampah, agak-agak mereka akan buang tak sampah-sampah macam itu sahaja?

“Mestilah tidak, mereka pun akan suruh anak-anak buang sampah dengan cara yang betul supaya dapat jana pendapatan satu keluarga. 

“Tetapi itu bukan fokus utama kami, yang penting pembuangan sampah dapat dikurangkan dengan cara yang lestari,” tambah beliau. – 7 Jun, 2020.

Iklan
Iklan