NGO persoal larangan ke atas migran solat jemaah di masjid
Iklan
SEKATAN daripada mendirikan solat jemaah di masjid sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) merupakan diskriminasi yang tidak patut berlaku, kata wakil NGO.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Mohd Azmi Abdul Hami menegaskan, kumpulan migran perlu dibenarkan menyertai solat jemaah sekiranya sudahpun diuji negatif.
“Bagi kami adalah tidak wajar jika sudah pasti seseorang warga asing disahkan negatif Covid-19, dilarang untuk datang ke masjid dan menunaikan solat berjamaah dan solat Jumaat.”
Oleh itu keputusan menyekat warga migran daripada menyertai ibadah berkenaan perlu disemak semula dan dirujuk kepada pihak berkuasa agama, kata Mohd Azmi.
“Kami melihat ini adalah diskriminasi yang tidak wajar. Tuntutan agama tidak boleh dikompromi jika semua syarat telah dipenuhi.
“Kami bersetuju agar semua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial.
“Kami menegaskan bahawa isu ini sepatutnya dirujuk kepada menteri agama, mufti serta majlis agama negeri. Sudah tentu ia perlu diputuskan oleh sultan negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob yang melarang warga asing menyertai solat Jumaat dan jemaah apabila kelonggaran diberikan untuk lebih ramai makmum ke masjid.
Ismail Sabri berkata, warga asing masih belum dibenarkan menyertai solat jemaah disebabkan jumlah penularan Covid-19 yang tinggi dalam kalangan kumpulan itu.
Oleh itu keutamaan diberikan kepada rakyat Malaysia kerana warga asing tidak wajar dibenar memenuhi masjid sehingga tiada tempat untuk orang tempatan, katanya.
Kelonggaran untuk penyertaan lebih ramai makmum itu mengikut SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan berkuatkuasa bermula 10 Jun.
Sementara itu, satu NGO mewakili kumpulan migran memberitahu The Malaysian Insight, walaupun ia bertujuan menghalang penularan wabak, halangan beribadat itu tidak sepatutnya ditentukan kerajaan.
Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Andrian Pereira berkata, soal beribadat adalah hubungan peribadi antara manusia dengan Tuhan, maka ia tidak boleh ditentukan oleh pihak kerajaan.
“Pihak kerajaan tidak boleh tentukan siapa lebih layak untuk bertemu (ibadat) dengan tuhan. Dalam hal ini, kita seolah-olah mewujudkan halangan kepada manusia untuk berjumpa tuhannya,” kata beliau.
Beliau juga menyifatkan kenyataan Ismail Sabri sebagai “dangkal” kerana kes itu sebenarnya berkait dengan pematuhan SOP yang lemah di hostel pekerja warga asing dan kelemahan penguatkuasaan.
“Kenaikan kes Covid-19 daripada kalangan pekerja asing adalah hasil daripada tindakan kerajaan yang menahan warga asing serta penguatkuasaan lemah di hostel-hostel pekerja.
“Menafikan hak mereka beribadat di atas kesalahan kita adalah tindakan yang tidak beretika,” kata beliau.
Andrian seterusnya menyarankan agar semua rakyat beribadat di rumah sahaja untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.
Jelasnya, saranan itu kerana sesetengah masjid – seperti Masjid India di pusat bandar Kuala Lumpur – sememangnya menjadi tumpuan warga asing dan menjalankan ibadah dalam bahasa Tamil.
Masjid itu merupakan antara kawasan diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan selama lebih dua minggu disebabkan penularan kes Covid-19, dan hanya tamat pada awal Mei.
“Jika polisi ini tetap diteruskan, ia memberi kesukaran kepada rumah-rumah ibadat kerana ada sesi yng dikhaskan dilakukan mengikut bahasa ibunda tertentu.
“Peraturan seperti ini menunjukkan kerajaan kurang pengetahuan mengenai isu golongan migran walaupun bergantung kepada tenaga kerja mereka lebih daripada 30 tahun lalu,” tambah Andrian.
Seorang aktivis hak asasi manusia, Sudhagaran Stanley pula berpendapat larangan atas alasan peningkatan kes positif Covid-19 tidak berasas.
Pengusaha sekolah untuk anak pelarian itu juga berkata halangan menyertai jemaah itu tidak wajar dan tidak logik kerana kumpulan migran tersebut dibenarkan bergerak bebas.
“Mereka (pekerja migran) yang menyediakan makanan (daripada sektor penanaman hingga servis), menggunting rambut, dan mereka juga bergerak bebas.
“Oleh itu, menghalang mereka beribadat adalah satu tindakan diskriminasi.
“Sebenarnya ia tidak logik, pasar malam sudah boleh dibuka, rentas negeri juga boleh, jadi kenapa perlu kita halang golongan migran beribadat sedangkan banyak kelonggaran telah diberikan,” katanya.
Beliau seterusnya menyarankan Ismail mendengar saranan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah supaya tidak menyalahkan atau menyisihkan kumpulan migran.
Beliau merujuk kenyataan Dr Noor Hisham minggu lalu yang meminta rakyat Malaysia tidak menyalahkan migran tersebut atas peningkatan kes Covid-19 di kalangan warga asing.
Minggu lalu, Noor Hisham berkata walaupun peningkatan kes positif Covid 19 daripada warga asing, rakyat Malaysia tidak boleh menyalahkan mereka.
Beliau juga berulang kali menyebut mengenai keadaan tempat tinggal sempit dan bersesak-sesak yang migran tersebut yang menyumbang kepada penularan kes Covid-19. – 8 Jun, 2020.