Peniaga pasar malam, bazar bimbang dipinggir kerana penjarakan
Iklan
PARA peniaga pasar malam dan bazar gembira dengan kebenaran untuk beroperasi semula namun bimbang jika masih tidak dapat membuka gerai kerana penguatkuasaan penjarakan.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, ada pengusaha gerai yang akan terpinggir kerana prosedur operasi standard (SOP) memisahkan gerai pada jarak 1.5 hingga 2 meter.
Penganjur Pasar Malam Taman Alma di Bukit Mertajam, Mustafa Ariffin, 63, beliau masih tidak boleh membayangkan bagaimana gerai-gerai dijarakkan dalam kawasan yang terhad.
“Apabila peniaga sudah duduk satu tempat, mereka tak mahu tukar lagi. Saya pun bimbang, arahan penjarakan ini akan sebabkan ada tapak niaga yang tidak dapat dibuka kerana ruang yang terhad.
“Di Taman Alma kita ada 120 peniaga, kadang-kadang lebih daripada itu. Tetapi dengan SOP baharu, mungkin 70 atau 80 gerai sahaja dapat masuk,” kata beliau.
Oleh itu, pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) perlu memainkan peranan supaya SOP lebih kemas dapat dilaksanakan, kata Mustafa.
“Peniaga sibuk melayan pelanggan. Dan saya jangka, apabila pasar dibuka akan ada gelombang orang ramai.
Jadi untuk pastikan SOP lebih kemas, MBSP perlu main peranan daripada segi penguatkuasaan,” kata beliau.
Seorang peniaga cucur udang di Pasar Malam Pantai Jerejak, Arni Omar pula berpendapat SOP penjarakan itu sukar dilaksanakan dalam persekitaran pasar malam.
“Bagaimana kita nak laksanakan penjarakan sosial 1.5 hingga 2 meter sedangkan kita tahu, setiap gerai sudahpun tersedia dengan tapak masing-masing.
“Andai kata kedudukan sosial ini dilaksanakan, akan ada gerai yang tidak boleh berniaga,” jelas Arni, 33, yang turut menuntut satu SOP lebih adil dapat dilakukan.
Beliau menjangka dengan SOP penjarakan itu, hanya 60 gerai sahaja akan dapat dimuatkan di lokasi yang pada ketika ini dapat menempatkan 100 gerai.
“Bagaimana pula dengan 40 gerai selebihnya? Di sini, pihak mana yg akan tentukan gerai mana yang akan terpilih?” soal beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau bagaimanapun tetap bersyukur dengan keputusan kerajaan membenarkan pasar malam beroperasi kerana pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan beliau hanya dapat berniaga dalam talian.
“Alhamdulillah, hasil jualan masih okay walaupun tidak dapat dijual di pasar malam,“jelas beliau.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada Sabtu mengumumkan, pasar malam, pasar pagi dan bazar dibenarkan beroperasi semula dari 15 Jun mengikut waktu serta syarat tertentu.
Menurut kebenaran tersebut, pasar pagi boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 11 pagi, pasar malam dari 4 petang hingga 10 malam dan bazar dari 5 petang hingga 11 malam.
Antara SOP yang ditetapkan ialah jarak sosial kedudukan gerai 1.5 meter hingga dua meter antara satu sama lain di kawasan terbuka dan perlu dipagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.
Seorang lagi peniaga Nasoruddin Shah Mat berpendapat SOP itu akan menyebabkan peniaga terpaksa berkorban dengan mengecilkan saiz tapak.
Penjarakan hingga dua meter akan juga akan menyebabkan separuh peniaga terpaksa mengorbankan peluang berniaga, tambah peniaga pakaian dan barangan kulit di Uptown Bandar Perda itu.
“Ada pihak cadangkan berniaga secara bergilir-gilir, selang sehari. Ada juga cadangan supaya semua kena berkorban kecilkan tapak.
“Tetapi saya dah terlibat dalam perniagaan di pasar malam dan bazaria lebih 10 tahun, akibat isu tapak ini pun boleh jadi isu hingga pergaduhan.
“Apa-apa pun kami tunggu SOP yang akan dikeluarkan oleh MBSP sama ada ada pengecualian bab jarak atau ada kaedah lain seperti sediakan khemah antara gerai,” jelas Nasoruddin, 51.
Kebimbangan serupa turut disuarakan peniaga di Kuala Lumpur seperti Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Lorong Tuanku Abdul Rahman.
Pengerusinya Azkhalim Suradi berkata jarak antara 1.5 hingga 2 meter itu sukar dilaksana kerana akan menyebabkan ramai peniaga tidak berpeluang membuka kedai.
“Kita ada 550 lot di sini dan jika dikecilkan lagi untuk mengikut SOP bermakna ramai peniaga yang ketinggalan.
“Jika kita mengikut penjarakan seperti SOP kita perlu menggunakan lebih banyak ruang dan macam mana kita hendak putuskan, siapa dapat lot dan siapa tidak dapat?”
Azkhalim berkata persatuan itu kini sedang merundingkan SOP tersebut dengan para ahlinya.
“Kita sudah maklumkan kepada anggota kami mengenai SOP itu dan mereka tidak berapa gembira.”
Jelasnya, syarat penjarakan itu sepatutnya dikuatkuasa ke atas pelanggan yang datang ke pasar malam dan bukannya ke atas peniaga.
“Saiz lot ini 1.8 meter kali 1.8 meter dan sepatutnya tiada isu di sini sebab biasanya dua orang mengendali setiap gerai, jadi sudah ada penjarakan (di antara peniaga).
“Jika ada ramai orang di tapak, maka ia akan jadi sesak. Jadi isunya penjarakan di antara pelanggan. Kita harap Dewan Bandaraya sedar masalah ini,” katanya. – 9 Jun, 2020.