Tanah mahal paksa pemaju bina hartanah mewah
Iklan
PENINGKATAN kos tanah dalam Lembah Klang memaksa pemaju hartanah membina hartanah berharga atas RM1 juta bagi menampung pelaburan mereka, kata pemain industri yang menggesa kerajaan menawarkan insentif lebih besar kepada pemaju untuk membina dan menjual lebih banyak kediaman mampu milik.
Berbanding dengan hanya membekukan sementara kelulusan untuk projek pembangunan hartanah mewah, pihak berkuasa juga perlu mempertimbangkan kuasa pasaran seperti kesan berantai dalam ekonomi yang sangat bergantung kepada industri pembinaan dan perumahan.
Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Leong Hoy Kum berkata keputusan untuk membina hartanah mewah banyak dipengaruhi oleh kos tanah di Kuala Lumpur dan Selangor.
Leong menegaskan yang masih wujud permintaan besar untuk hartanah mewah di kawasan tertentu dalam negara, dan menggesa kerajaan untuk menilai kembali pembekuan itu berasaskan kes demi kes.
“Kami percaya yang hartanah di lokasi yang baik, pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan pembangunan-damping-transit (TAD) masih akan dapat sambutan,” katanya.
Baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan yang jumlah hartanah kediaman tidak terjual mencapai tahap tertinggi dekad ini, dan majoriti hartanah tidak terjual itu berharga lebih RM250,000.
Berdasarkan nasihat BNM, kerajaan mengenakan pembekuan sementara kepada kelulusan hartanah mewah. Bagaimanapun, minggu lepas, kerajaan menarik balik keputusan itu, berkata projek hartanah mewah buat masa sekarang akan dinilai dan diluluskan berasaskan kes demi kes.
Pada suku pertama tahun ini, hartanah kediaman tidak terjual adalah 130, 690 unit, jumlah tertinggi dekad ini. Ia hampir dua kali ganda jumlah tertinggi pernah dicatatkan antara 2004 sehingga 2016 iaitu 72,239, kata bank pusat itu.
Johor mempunyai unit kediaman tidak terjual terbanyak (27% daripada jumlah keseluruhan di Malaysia), diikuti Selangor (21%), Kuala Lumpur (14%) dan Pulau Pinang (8%).
BNM juga mendedahkan yang sejak 2016 hingga suku pertama tahun ini, hanya 21% hartanah baru dilancarkan adalah rumah berharga bawah RM250,000.
Pembekuan sementara itu dijangka menyebabkan harga rumah jatuh, kerana ia memaksa pemaju kecil untuk menyemak kembali harga rumah baru dan menangani masalah projek terbengkalai, kata Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong.
“Pembekuan projek mewah berpotensi menghalang projek rumah terbengkalai berlaku (disebabkan oleh) pemaju yang merasakan wujud permintaan mencukupi dan meneruskan untuk (membina) dan menjualnya.
“Bagaimanapun, separuh jalan, (rupa-rupanya) tidak cukup pembeli dan pemaju tidak ada dana mencukupi untuk menyiapkan projek itu.
“Pembeli awal akan terperangkap dan situasi yang berlaku pada pertengahan 1980-an dan ketika Krisis Kewangan Asia 1997-2000 akan berulang. Malah sehingga sekarang, selepas 20 hingga 30 tahun, masih ada pembeli rumah yang menanti rumah mereka disiapkan,” katanya.
Bagaimanapun, Chang mengatakan penyelesaian jangka panjang bagi masalah peningkatan harga rumah adalah menyemak semula semua dasar kerajaan berkaitan kelulusan pembinaan di Lembah Klang.
Katanya, perancangan bandar yang terperinci penting kerana tanah adalah “sumber terhad” di Kuala Lumpur dan Selangor.
“HBA berpandangan yang perlu adanya pembekuan menyeluruh untuk semua pembinaan kompleks beli belah dan bangunan pejabat baru di Kuala Lumpur dan Selangor.
Chang menambah yang tindakan membekukan kelulusan hartanah mewah semata-mata boleh menimbulkan kesan sebaliknya kerana pemaju hartanah mungkin memilih untuk menangguhkan projek mereka berbanding menyemak kembali harga jualan rumah yang ingin dibina.
“Jika pemaju pilih jalan ini, pemaju ini terpaksa melambat-lambatkan perancangan mereka.
Menggalakkan pemaju untuk mengguna pakai skim pemilikan rumah melalui insentif potongan cukai dan kaedah lain akan dapat membantu mengurangkan ancaman wujudnya “generasi tanpa rumah,” katanya lagi.
“Bersama-sama dengan ‘Skim Sewa Beli Rumah”, ini adalah peluang terbaik untuk mengurangkan ancaman wujudnya ‘generasi tanpa rumah’ yang sudah mula bertapak kini,” kata Chang.
“HBA gembira yang agensi kerajaan seperti BNM akhirnya menyedari yang situasi ini benar-benar berlaku dan ia merupakan masalah semasa yang perlu diatasi serta merta.
“HBA juga memuji BNM kerana cukup berani berkata benar bahawa krisis perumahan akan berlaku sekiranya tiada tindakan segera diambil.” – 30 November, 2017.