Kedai kosong hanya isu sementara, kata ejen hartanah
Iklan
PERINTAH kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac menyebabkan kedai di kawasan komersial kosong dan perniagaan ditutup tetapi ejen hartanah percaya keadaan itu hanya sementara dan ia akan berlalu tidak lama lagi.
Banyak pusat komersial di Lembah Klang terjejas teruk akibat langkah tersebut yang bertujuan untuk membendung penyebaran Covid-19.
Ejen hartanah berkata pemilik perniagaan terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mampu membayar harga sewa yang tinggi susulan penurunan pendapatan semasa PKP.
Aldrin Tan, pengarah urusan Esprit Estate Agent Sdn Bhd, memberitahu The Malaysian Insight yang kekosongan unit meningkat tiga kali ganda berbanding sebelum dan selepas PKP.
“Perlu diingatkan kadar penghunian di beberapa kawasan ini sangat tinggi sebelum PKP,” katanya, sambil menambah belum ada data terbaru mengenai unit hartanah lagi.
Menurut pengamatannya, sebelum sekatan kawasan perniagaan matang di Lembah Klang seperti Pusat Komersial Subang Jaya Taipan, SS18, SS15, Grand Castle, Petaling Jaya SS2 dan Damansara mempunyai kadar penghunian 90% berbanding kawasan perniagaan yang lebih baru.
“Oleh itu, secara peribadi saya berpendapat walaupun beberapa perniagaan memutuskan untuk berpindah dari kawasan ini, kadar penghunian akan tetap berada pada tahap sangat sihat, sekurang-kurangnya sekitar 80%.”
Presiden Malaysian Institute of Estate Agents (MIEA) Lim Boon Ping memberitahu The Malaysian Insight keadaan semasa hanyalah permulaan gelombang, dan keseriusan dan kesannya masih belum diketahui.
Lim percaya gelombang ketidakstabilan akan berterusan selama beberapa bulan lagi sebelum ia stabil.
Katanya, pada masa ini, kedai ditutup di banyak lokasi, terutama di pusat popular yang mempunyai kadar sewa tinggi dan sukar bagi majikan untuk menanggung kos operasi yang tinggi tanpa pendapatan.
Tan berkata kadar penghunian juga akan bergantung kepada prestasi perniagaan dan ekonomi secara keseluruhannya.
“Sekiranya perniagaan tidak pulih, akan ada lebih banyak kedai ditutup, dan kadar sewa akan menurun,” tambahnya.
Lim berkata kedai yang beroperasi di kawasan ini sudah stabil dalam perniagaan mereka, jika tidak, sukar bagi mereka untuk beroperasi di tempat seperti itu sejak mula lagi.
“Tetapi dalam jangka masa panjang, saya tidak akan bimbang mengenai tempat ini kerana lokasi ini sangat matang, terdapat hanya sedikit kedai baru yang ada,” katanya.
Lim berkata selagi ada permintaan untuk perkhidmatan di tempat tertentu, perniagaan akan terus beroperasi.
“Mereka ini ingin memberikan perkhidmatan, sama ada makanan dan minuman atau lain-lain, jadi mereka mesti mempunyai jalan keluar. Jadi saya rasa ia tidak akan memberi kesan besar dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau menambah banyak pusat perniagaan digelar sebagai “jalan sepanduk” kerana begitu banyaknya iklan untuk disewa.
“Saya tidak bimbang mengenai tempat ini. Sekarang anda melihatnya kosong, tetapi akan penuh lagi dalam beberapa bulan.
“Pada masa itu, semua orang hanya akan mengadu satu perkara - mereka tidak dapat mencari tempat kosong,” kata Lim.
Putrajaya melonggarkan lebih banyak sekatan kawalan pergerakan mulai hari ini dengan pengenaan kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang akan berakhir pada 31 Ogos.
Ini menyaksikan lebih banyak perniagaan dijangka dibuka semula selepas ditutup selama hampir tiga bulan.
Sebagai contoh, kawasan SS15 di Subang Jaya, Lim berkata walaupun akan ada blok pangsapuri baru di kawasan itu, masih ada kekurangan kedai di sana.
Tan berkata hampir 80% penyewa di kawasan itu menyewakan unit mereka selama tiga tahun atau lebih.
Bagaimanapun, Lim berkata bagi kawasan yang mempunyai jumlah penduduk lebih sedikit, sukar untuk mencari penyewa baharu selepas kedai pindah keluar.
Beliau berkata tempat seperti itu tidak akan dapat bertahan, terutama selepas pandemik Covid-19. – 10 Jun, 2020.