Iklan

Wakil rakyat, NGO kecam sepanduk halang warga Rohingya masuk kampung

Zaim Ibrahim4 years ago9th Jun 2020Berita
 Kampung Plentong Baru
Sepanduk di depan sebuah surau di Kampung Plentong Baru yang menyatakan kaum pendatang Rohingya tidak dialu-alukan di kampung tersebut. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Jun, 2020.
Iklan

AHLI Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa pihak berkuasa agama bertindak ke atas tindakan individu yang memasang sepanduk menghalang warga Rohingya masuk ke kawasan kampung di situ.

Beliau menggesa demikian berhubung penemuan sepanduk di hadapan sebuah surau di Kampung Plentong Baru yang menyatakan kaum pendatang Rohingya tidak dialu-alukan di kampung tersebut.

Katanya, anggota jawatankuasa masjid perlu dikenakan tindakan sekiranya individu berkenaan benar-benar terlibat memasang sepanduk tersebut.

“Jika sepanduk itu dipasang oleh jawatankuasa surau berkenaan maka ia amat dikesali.

“Saya minta mufti negeri Johor supaya memanggil semua jawatankuasa masjid surau berkenaan jika mereka yang memasang sepanduk menghalang rakyat Rohingya datang ke Kampung Plentong Baru untuk menegur dan mendidik mereka,” katanya.

Tambahnya, sepanduk itu tidak wajar kerana orang Islam sepatutnya memberi perlindungan kepada insan tertindas seperti golongan Rohingya.

Beliau merujuk kepada penemuan sepanmduk berwarna hitam dengan slogan “Kami Tak Perlukan Anda Di Sini” dengan tanda palang ke atas tulisan “Rohingya” di luar masjid tersebut.

Kecaman sama disuarakan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang menyifatkannya keterlaluan dan menggesa siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa agama.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata seruan dalam sepanduk itu menggesa tindakan untuk membenci satu-satu kaum, yang bertentangan dengan Islam.

“Tindakan ini berlawanan secara jelas hukum Islam yang menegaskan prinsip persaudaraan dalam Islam.

“Apakah pihak yang meletak sepanduk dihadapan surau berkenaan membawa mesej sanggup mengenepikan ajaran Islam dan mengutamakan sentimen kebencian sesuatu kaum atas maklumat yang salah dan berunsur fitnah?”

Azmi bagaimanapun tidak menolak andaian sekiranya sepanduk itu didalango pihak pihak yang sengaja ingin mencemarkan imej surau berkenaan.

“Kami menyeru pihak Majlis Agama Islam, Mufti dan Jabatan Agama Islam Johor menyiasat tindakan tersebut sebelum ia merebak dan menimbulkan keadaan yang tidak diingini.

“Kami kesal sentimen kebencian seperti ini mahu dilahir dari rumah ibadat Islam yang sepatutnya menjadi pelindung dan penegak kepada syariat Islam sebagai agama yang membawa prinsip rahmatan lil alamin,” tambahnya.

Sentimen xenophobia ke atas warga Rohingya dikesan meningkat apabila pengkuatkuasaan dan saringan ditumpukan ke atas golongan tersebut dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Ratusan pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi besar-besaran di kawasan tumpuan sewaktu jumlah kes memuncak bulan lalu.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob pula pada Ahad menyatakan golongan pendatang asing tidak dibenarkan menyertai solat di masjid.

Katanya, golongan itu tidak dibenarkan hadir apabila lebih ramai jemaah dibenarkan mengunjungi masjid untuk beribadat sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. – 9 Jun, 2020.

Iklan
Iklan