Iklan

Peter Anthony dituduh ubah wang haram RM8.75 juta

Irwan Majid4 years ago11th Jun 2020Berita
Peter anthony tmi 2020
Naib Presiden Warisan Peter Anthony dituduh menggubah wang haram mencecah RM8.75 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 11 Jun, 2020.
Iklan

MENTERI Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan mengubah wang haram dan menerima hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM8.75 juta antara 2014 dan 2016.

Beliau yang juga naib presiden Parti Warisan Sabah membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Abu Bakar Manat, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon ikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Katanya, walaupun pertuduhan ke atas Peter bukanlah kes boleh jamin tetapi terpulang kepada mahkamah sama ada ia mahu menawarkan ikat jamin.

Beliau turut memohon supaya Peter menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peter diwakili peguam Luke Ressa Balang, Martin Tommy, Cedric Choo, dan Douglas Lind.

Luke bagaimanapun memohon ikat jamin ditetapkan pada RM100,000 dengan dua penjamin.

Beliau turut mencadangkan supaya Peter melaporkan diri ke pejabat SPRM enam bulan sekali.

Hakim Abu Bakar Manat kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin dan mengarahkan Peter melapor diri kepada SPRM dua bulan sekali.

Beliau turut mengarahkan Peter menyerahkan pasportnya ke mahkamah, tetapi Peter boleh memohon untuk mendapatkannya semula jika wujud keperluan ke luar negara.

Beliau menetapkan pendengaran semula kes pada 4 Ogos depan. – 11 Jun, 2020.

Iklan
Iklan