Iklan

Najib mohon gugurkan Sri Ram dalam perbicaraan pinda audit 1MDB

Bede Hong4 years ago12th Jun 2020Berita
Gopal sri ram
Najib Razak fail permohonan menggugurkan Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2020.
Iklan

NAJIB Razak memfailkan satu lagi permohonan untuk mengenepikan Gopal Sri Ram daripada perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang sedang berlangsung, susulan pendedahan berkenaan ketua pendakwa itu oleh bekas peguam negara Apandi Ali.

Permohonan difailkan oleh pasukan peguam Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Pejabat Peguam Negara turut menerima permohonan itu hari ini, kata Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Pengurusan kes dipercepatkan ke Isnin ini, untuk didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Permohonan baharu itu untuk menyingkirkan Sri Ram daripada menjadi pendakwa dalam kes itu, kata ketua pasukan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah hari ini.

Permohonan itu akan disokong dengan dua afidavit, satu daripada Najib, dan satu lagi daripada Apandi, kata Shafee.

“Permohonan itu dibuat susulan pendedahan baru-baru ini berkenaan Sri Ram dalam satu kiriman di Facebook oleh Apandi pada Rabu,” katanya.

Menerusi kiriman Facebook itu, Apandi mendakwa Sri Ram cuba memujuknya untuk menahan Najib, yang pada masa itu perdana menteri, atas tuduhan rasuah pada 2018, beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Peguam Najib dijangka berhujah bahawa perbicaraan itu terjejas akibat pendakwaan politik, salah laku pendakwa raya dan berat sebelah, kata pasukan peguamnya.

Najib berdepan perbicaraan atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mengeluarkan sebahagian daripada laporan akhir audit ketua audit negara berkenaan 1MDB antara 22 Februari dan 26 Februari, 2016 di Pejabat Perdana Menteri sebelum ia dibentangkan di Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, untuk melindungi dirinya daripada tindakan jenayah.

Bekas ketua pegawai eksekutif Arul Kanda Kandasamy turut didakwa bersubahat dengan Najib.

Najib dan Shafee masing-masing memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mengenepikan Sri Ram dalam kes jenayah lain.

Najib mohon menggugurkan Sri Ram dalam perbicaraan 1MDB, di mana bekas perdana menteri itu berdepan 25 pertuduhan jenayah membabitkan RM2.3 bilion wang 1MDB.

Shafee, yang berdepan perbicaraan tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta, memohon menggugurkan Sri Ram yang juga ketua pendakwa dalam perbicaraan itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan semakan kehakiman itu pada 16 Jun. – 12 Jun, 2020.

Iklan
Iklan