Warga asing di pasar Selayang terdesak
Iklan
PEKERJA warga asing yang dilarang bekerja di pasar borong Selayang bertindak membuka gerai haram, menjual dan mencuri sayur dalam usaha mendapatkan pendapatan dan meneruskan hidup, kata peniaga tempatan.
Peniaga kini risau jika berlaku jangkitan Covid-19 gelombang kedua, akibat daripada aktiviti warga asing terbabit, dan minta kerajaan menangani masalah itu secepat mungkin, dengan mencadangkan pekerja warga asing itu boleh diambil bekerja dalam sektor lain.
Kerajaan melarang warga asing bekerja di pasar borong itu selepas mereka dikenal pasti sebagai sumber jangkitan Covid-19 di kawasan itu. Akibatnya, kawasan di sekitar pasar itu dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pada Mac dan April.
Penduduk tempatan juga menggesa kerajaan membersihkan kawasan itu daripada pendatang asing tanpa izin (Pati). Kerajaan kemudian memutuskan hanya membenarkan warga tempatan bekerja di pasar itu, dan Pati ditangkap dan dihantar pulang.
Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Sing Kian Hock berkata pekerja warga asing terbabit tidak ada tempat lain hendak dituju selepas hilang pekerjaan di pasar itu.
“Bila pasar borong dibuka semula (pada 24 April), sudah ada pun pencuri sayur. Mereka tidak curi ikan kerana ikan tidak dipamerkan secara terbuka di gerai,” kata Sing kepada The Malaysian Insight.
Katanya, pasar lama Selayang berhampiran pasar borong itu juga berlaku kecurian baru-baru ini.
Presiden Persekutuan Persatuan Penjual Sayur Malaysia Chong Tek Keong berkata peniaga masih menerima panggilan telefon daripada bekas pekerja warga asing mereka, minta kalau boleh mereka diberikan pekerjaan.
“Pasar borong Selayang tidak ada pekerja warga asing sekarang, tetapi mereka masih ada di kawasan sekitar, berharap untuk mencari kerja.
“Kadang-kala ada yang telefon kami tanya ‘Bos, boleh ambil saya kerja semula?’,” kata Chong.
Sebahagian peniaga mengeluarkan duit sendiri untuk membantu bekas pekerja, di mana ada antaranya bekerja selama bertahun-tahun dengan mereka.
Chong berkata mengikut pengetahuannya, terdapat kira-kira 6,000 warga asing di kawasan sekitar pasar borong Selayang, termasuk bekas pekerja pasar, pelarian dan keluarga mereka.
Katanya, beliau turut menasihatkan bekas pekerjanya untuk cuba mencari pekerjaan di negeri lain dan dalam sektor lain.
Beliau berkata ramai peniaga tidak dapat berdiam diri saja dan tidak berbuat apa-apa untuk buruh yang pernah bekerja dengan mereka selama ini, dan akhirnya mereka keluarkan duit sendiri untuk bantu pekerja warga asing.
Bagaimanapun, Chong berkata bantuan itu bukan penyelesaian jangka panjang.
Katanya, ramai pekerja dan pelarian warga asing di kawasan sekitar yang tidak dapat membayar sewa rumah selama beberapa bulan sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac.
Chong menggesa kerajaan mendapatkan kerja baharu di sektor lain untuk pekerja warga asing dan pelarian yang hilang punca pendapatan.
Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur Chin Nyuk Moy berkata pekerja warga asing hilang punca selepas menganggur ketika PKP, dengan tiada pendapatan dan tidak ada tempat hendak dituju.
“Saya ingatkan mereka akan keluar dari pasar ini, tetapi mereka tidak berbuat demikian dan masih melepak di sini,” kata Chin.
Orang tempatan tidak minat kerja
Sing daripada persatuan pemborong ikan berkata ramai pekerja warga tempatan hanya bertahan bekerja selama beberapa hari dan kira-kira 20% saja yang diambil bekerja, masih kekal di pasar.
Katanya, bekerja dalam sektor makanan laut membabitkan tugas mengangkat tong ikan yang berat dengan ais, biasanya hingga 200kg, keadaan kerja yang lembab dan sejuk, risiko jangkitan bila dicucuk sirip ikan dan waktu bekerja yang panjang hingga ke malam.
Tidak ramai pekerja warga tempatan yang sanggup bekerja dalam keadaan itu, katanya.
Sementara pekerja warga asing biasanya dibayar RM70 hingga RM80 sehari, Sing berkata pemborong makanan laut membayar antara RM100 dan RM110 sehari untuk pekerja warga tempatan.
“Jika ada orang tempatan minta kerja, kita ambil, tetapi biasanya esok mereka tidak datang kerja lagi,” katanya. – 13 Jun, 2020.
Berita penuh di sini.