Iklan

Cabaran guru apabila sekolah dibuka semula dengan SOP baharu

Student tmi nazirsufari 287
Kementerian Pendidikan menetapkan SOP agar pelajar mengekalkan penjarakan sosial dan mengelakkan kontak fizikal semasa di sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2020.
Iklan

PARA guru bekerja keras membuat persiapan untuk mengharungi cabaran mengendalikan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam yang akan kembali ke sekolah pada 24 Jun.

Mereka berkata kebimbangan yang perlu dihadapi adalah untuk memastikan setiap pelajar mengamalkan amalan kebersihan dan penjarakan sosial seperti yang ditetapkan.

Mereka juga menyuarakan kebimbangan tentang cara mengendalikan pelajar terutamanya selepas waktu sekolah ketika pelajar tidak dipantau oleh sesiapa.

Ada juga guru yang bimbang tentang masa dan usaha untuk mendidik pelajar terutamanya mereka yang masih lemah dan ketinggalan pembelajaran selama berminggu-minggu.

“Tidak kira berapa jauh mereka mengamalkan penjarakan sosial, pelajar akan berkumpul apabila guru meninggalkan kelas,” kata guru Fizik Ravi.

“Apabila guru kembali ke kelas, kita akan lihat betapa cepat pelajar kembali ke tempat masing-masing,” kata guru sekolah menengah itu.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, meja pelajar perlu disusun dengan jarak satu meter apabila sekolah dibuka semula pada 24 Jun.

“Ini antara masalah besar yang perlu kami hadapi. Sekolah boleh menetapkan peraturan yang kerajaan mahu untuk pelajar. 

“Tetapi remaja tetap remaja. Mereka akan mengabaikannya apabila di belakang kita,” katanya.

Kementerian Pendidikan menetapkan SOP agar pelajar mengekalkan penjarakan sosial dan mengelakkan kontak fizikal semasa di sekolah.

Inisiatif ini merupakan sebahagian pelan untuk membolehkan sekolah awam dibuka semula secara berperingkat.

Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi guru adalah untuk membantu pelajar yang ketinggalan pelajaran sepanjang mereka duduk di rumah sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac.

Laporan The Malaysian Insight pada 14 Mei mendedahkan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan tinggal di kawasan luar bandar sukar mengikuti pembelajaran secara dalam talian ekoran tidak mendapat akses internet dan peralatan untuk mengakses laman web.

“Pelajar yang tidak mengikut sesi pembelajaran secara dalam talian perlu diajar sekali lagi oleh guru mereka dan ini memberi tekanan kepada kami terutamanya bagi mereka mengajar pelajar yang akan menduduki peperiksaan,” kata Chia, seorang lagi guru di Selangor.

Kementerian mengubah tarikh peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ke April tahun depan.

“Kami skeptikal sama ada pelajar akan mematuhi SOP. Tetapi kami tidak mempunyai pilihan.

“Pelajar dan ibu bapa bimbang mereka tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk menghabiskan silibus.” – 14 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan