Suhakam, aktivis mahu laporan RCI Wang Kelian diumum segera
Iklan
PUTRAJAYA perlu mendedahkan segera laporan siasatan suruhanjaya diraja mengenai penemuan kubur besar pelarian Rohingya di Wang Kelian, Perlis, kata aktivis dan pesuruhjaya hak asasi manusia.
Mereka yakin pendedahan laporan itu, yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hampir setahun lalu, boleh membantu usaha membanteras kegiatan pemerdagangan orang.
Ia tidak harus dilengah-lengahkan lagi untuk mengelakkan sindiket terlibat terus bermaharajalela, kata pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Jerald Joseph.
“Ketika kerajaan bersetuju menubuhkan siasatan diraja kami sangat gembira kerana ia kemudian dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Kabinet.
“Ia perlu didedahkan kepada orang ramai kerana, kami di Suhakam juga tahu apa yang patut dilakukan.
“Perkara ini tidak patut dilengahkan. Isu ini sangat serius dan kita perlu tahu siapa dalang yang terlibat dalam kes ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Tegasnya, perubahan tampuk kerajaan pada akhir Februari lalu juga bukan satu alasan yang menangguhkan pendedahkan laporan tersebut.
Malah, isu kawalan sempadan seperti yang dihadapi dalam membendung Covid-19 juga menunjukkan kepentingan laporan seperti RCI tersebut.
“Laporan ini dilengah-lengahkan bukan kerana pertukaran kerajaan kerana ia adalah hasil usaha RCI.
“Ketika negara berhadapan Covid-19, kerajaan juga sedar kita banyak jalan tikus dan laporan itu sangat diperlukan untuk mengekang isu pemerdagangan manusia,” tambah beliau.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid juga berakta, tiada alasan lagi untuk laporan tersebut terus dirahsiakan.
Ini kerana, laporan tersebut sudahpun siap dan Menteri Dalam Negeri waktu itu, Muhyiddin Yassin turut berkata sudahpun dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Januari lalu.
Jelasnya pendedahkan itu penting kerana boleh menentukan sama ada terdapat warga luar atau kalangan rakyat Malaysia sendiri terlibat dengan aktiviti pemerdagangan orang itu.
Lagi pula, penemuan kubur besar dan kem sementara di kawasan berkenaan menunjukkan sindiket sudah beroperasi lama.
“Laporan itu sepatutnya didedahkan segera setelah dibentang kepada Yang Di-Pertuan Agong, ia ada kepentingan untuk diberi perhatian serius oleh orang awam sendiri.
“Melengahkan pendedahan akan menjadikan siasatan itu sia-sia kerana ia melibatkan dana awam untuk pihak RCI menjalankan tugasnya.
“Apatah lagi RCI diwujudkan kerana mahu membenteras jenayah serius itu sehingga melibatkan pembunuhan nyawa mangsa di sempadan negara,” jelasnya kepada The Malaysian Insight.
Tambah Azmi, jika kerajaan masih berlengah-lengah mendedahkan laporan itu, ia akan memberi tanggapan bahawa ada pihak yang mahu menutup sesuatu.
“Perkuburan yang ditemui pada 2015 itu adalah suatu yang mengejutkan, ia melibatkan lebih daripada seratus nyawa.
“Orang awam tertanya-tanya adakah kemungkinan ada pihak mahu menutup atau merahsiakan sesuatu yang boleh sebabkan pendedahan lebih besar,” jelasnya.
Muhyiddin ketika menjadi menteri dalam negeri pada Januari lalu menyebut, hasil berkenaan akan didedahkan kepada orang ramai sekiranya dipersetujui Kabinet.
Syor tersebut dihasilkan selepas sidang RICI selama 17 hari melibatkan keterangan 48 orang saksi.
Sebanyak 28 kem dan kubur mengandungi 139 mayat mangsa pemerdagagang orang di kawasan hutan Wang Burma di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand itu diketahui selepas dibongkar media.
Lebih 100 rangka manusia juga ditemui di kawasan kubur itu, dipercayai etnik Rohingya.
Sementara itu, anggota suruhanjaya siasatan diraja Tan Seng Giaw berkata laporan itu belum diumumkan kerana negara masih berdepan krisis politik dan wabak pandemik Covid-19.
“Saya berhadap kerajaan boleh menguatkuasakan apa yang kami syorkan. Hanya kerajaan yang stabil sahaja mampu membuat keputusan.
“Dalam kedaaan sekarang, kerajaan melihat lawannya nak tumbangkan (kerajaan), ada yang masih memilih siapa yang mahu jadi perdana menteri, itu masalah kita sekarang.
“Isu Wang Kelian diketepikan buat sementara,” jelasnya yang menambah, tiada sebarang kesan sekiranya pendedahan laporan itu dilengah-lengahkan.
“Tiada kesan (jika lambat dedah kepada orang awam). Ini berlaku lima tahun dahulu. Segala bukti dan kesan tinggal sedikit dan orang yang terlibat pun mungkin sudah lari.
RCI ini diwujudkan supaya kita dapat mengetahui perkara yang sebenar berlaku dan kemukakan beberapa syor kepada kerajaan supaya kes seperti ini tidak berulang, itu sahaja,” jelas beliau. – 23 Jun, 2020.