Iklan

Di Setiawangsa, BN kerja keras pujuk hati pengundi kecewa

Yasmin Ramlan7 years ago2nd Dec 2017Berita
Ahmad fauzi zahari nazir 07
Ahli Parlimen Setiawangsa Ahmad Fauzi Zahari dilihat sebagai cuba melakukan terbaik, menutup kecelaan ditinggalkan ahli Parlimen BN terdahulu di kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Disember, 2017.
Iklan

The Malaysian Insight sedang menjalankan siri mengenai kerusi Parlimen marginal menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. Di Setiawangsa, kita melihat sama ada sentuhan peribadi ahli Parlimen dapat meredakan atau tidak kemarahan pengundi terhadap 1MDB dan kos sara hidup.

MALATHI Chinnathambi kematian suaminya tahun lalu dan dia mungkin berdepan kesukaran untuk mencari rezeki demi anak-anaknya jika tanpa pertolongan Ahli Parlimen Setiawangsa Ahmad Fauzi Zahari.

Fauzi dari Barisan Nasional (BN) membantu ibu tunggal berusia 46 tahun itu yang berniaga kecil-kecilan menjual kuih untuk menggantikan pendapatan sara keluarga yang sebelum ini ditanggung oleh mendiang suaminya. Wakil rakyat itu juga selalu menempah kuih dari Malathi untuk majlis jamuan.

BN berharap bantuan seperti itu, yang datang dari Fauzi sendiri, akan memberi kelebihan padanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti ketika parti itu gigih cuba mempertahankan satu daripada hanya dua kerusi yang dimenanginya di Kuala Lumpur.

Setiawangsa antara kerusi yang mewakili trend pada PRU 2013, ketika pengundi yang celik politik di kerusi kawasan bandar dari Kota Bharu ke Alor Star sampai ke Kuching mengetepikan BN dan memihak kepada DAP, PKR dan PAS.

Setiawangsa dan Titiwangsa yang berjiran adalah dua daripada 11 kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang BN dapat kuasai walaupun dengan majoriti masing-masing hanya 1,390 dan 866 undi.

Di Setiawangsa terutamanya, pemerhati mendakwa BN bernasib baik kerana ada undi dari kem tentera di kawasan itu.

Fauzi berkata 20% daripada keseluruhan undi di Setiawangsa ialah daripada undi tentera, manakala aktivis jentera Pakatan Harapan (PH) pula berkata mereka tiada data mengenai sokongan golongan tersebut.

PH kali ini berharap dengan isu kos sara hidup dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ia akan dapat sokongan dari semua lapisan pengundi di Setiawangsa – termasuk tentera – untuk ia menawan kerusi tersebut.

“Kita yakin kerana trend dari 2004 hingga 2013 menunjukkan peningkatan undi berterusan untuk pembangkang dan PKR.

“Isu ekonomi hari ini menambahkan lagi keinginan pengundi untuk berubah.

“Jika sebelum ini (sokongan) tertumpu di kalangan masyarakat Tionghua dan India serta golongan Melayu yang tinggal di flat, kini Melayu kelas pertengahan turut memberikan sokongan,” kata Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nama Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad turut disebut-sebut sebagai calon PH di Setiawangsa pada PRU14 nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2017.

Nama Adun Seri Setia dua penggal itu turut disebut-sebut sebagai calon PH di Setiawangsa pada PRU14 nanti.

Bekas ahli Parlimen di situ, Zulhasnan Rafique sebelum ini menang selesa 27,757 undi mengalahkan Abdul Rashid Hassan Basri dari PAS pada 2004 dengan majoriti 19,669.

Bagaimanapun, kemenangan undi majoriti itu berkurangan lebih separuh pada PRU12 pada 2008 kepada 8,134 undi majoriti, sebelum merosot lagi kepada 1,390 pada PRU lalu.

Setiawangsa mempunyai kira-kira 56% pengundi Melayu, 30% Cina dan 11% India. Fauzi enggan mendedahkan jumlah pengundi dari kem tentera manakala pasukan Nik Nazmi pula tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

Bagaimanapun, jumlah dianggarkan dalam belasan ribu daripada keseluruhan 62,000 pengundi pada 2013.

Setiawangsa mempunyai penduduk dari latar belakang golongan kelas rendah yang tinggal di flat kos rendah di bahagian timur Jalan Setiawangsa dan kawasan Sri Rampai.

Manakala penduduk kelas menengah dan atasan pula tinggal di rumah teres dan banglo berdekatan Bukit Dinding, dia mana terletaknya Sekolah Antarabangsa Fairview.

Inflasi, yang disalahkan pada cukai barangan dan perkhidmatan (GST), amat dirasai oleh golongan berpendapatan rendah, yang juga perlu menanggung kadar sewa tinggi dan harga makanan mahal.

Fauziah Abu Bakar, 52, peniaga pisang goreng di situ, berkata masalah perumahan mampu milik merupakan isu yang perlu dititikberatkan.

Kecewa kerana tidak mendapat surat sokongan daripada Zulhasnan dan Fauzi bagi memohon rumah kos rendah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Fauziah berkata beliau tidak akan mengundi pada PRU akan datang.

Fauziah, isteri bekas tentera, turut menghasut semua enam anaknya untuk tidak keluar mengundi.

“Sokongan dia hendak tapi saya dah malas nak mengundi… kecewa. Tak ada apa-apa perubahan pun kalau kita sokong.

“Suami saya pun tak nak mengundi. Dia kecewa juga, sedangkan dia orang kerajaan tapi tak ada apa-apa,” katanya, yang kini menyewa di rumah teres dua bilik sejak 10 tahun lalu dengan bayaran bulanan RM700.

“Masa sekarang mampu lagi sebab sihat. Kalau tak, memang tak mampulah. Itu yang kita harapkan rumah PPR,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Inisght mendengar banyak aduan penduduk tentang bekas ahli Parlimen mereka, Zulhasnan dan nampaknya kecelaan itu sedang diperbaiki oleh Fauzi.

Bagi ibu tunggal Saridah Mohd Jailani, 49, Fauzi mudah untuk didekati berbanding ahli Parlimen yang sebelumnya.

“Dia turun padang beri bantuan untuk anak kami di kawasan PPR ini sebelum masuk sekolah tiap-tiap tahun. Paling sikit RM500. Sama juga kalau hari perayaan tiba.

“Kalau kita panggil dia datang, panggil kenduri doa selamat pun dia datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penjual akhbar Yap Keen Liong, 50, turut sependapat dengan Saridah bahawa Fauzi lebih mesra rakyat berbanding Zulhasnan.

“Nak jumpa dia, minta tolong boleh pergi pejabat dia. Tak ada protokol dan dia seorang pendengar yang baik,” katanya.

KL vs Selangor

Sebagai ahli Parlimen, Fauzi berkata pihaknya sudah bersedia mencuba sedaya-upaya untuk membantu rakyat di kawasannya.

Beliau mengaku isu nasional seperti skandal 1MDB dan dakwaan bahawa pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak kleptokrasi, jadi cabaran buat BN. Namun, beliau berharap pengundi memberi perhatian pada kerja kerasnya di kawasan itu.

“Kalau sebut kleptokrasi, penduduk akan tanya harga barang boleh turun? Rumah boleh dapat?

“Mereka yang datang ke pejabat saya membawa ‘issue of the day’ – anak sekolah, orang sakit. Sebaik saja keluar dari pintu pejabat saya ini, mereka hanya akan berbalik kepada benda-benda asas ini.

“Kat rumah ada makan ke? Anak dah makan ke? Kejap lagi ‘jam’ (kesesakan lalu lintas) ke?” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketika The Malaysian Insight berkunjung ke pejabatnya di Setiawangsa, Fauzi menunjukkan portfolio beliau yang tersusun lengkap dan sistematik yang tersimpan dalam fail mengikut tahun sejak menyandang jawatan ahli Parlimen di kawasan itu pada 2013.

Dalam fail itu ada pelbagai laporan aktivitinya bersama akar umbi serta penduduk setempat.

Meskipun kerja kerasnya disedari oleh ramai penduduk di situ, tetapi terdapat juga yang membandingkan tahap perkhidmatannya dengan pentadbiran kerajaan Selangor.

Rahim, contohnya cuba untuk mendapatkan surat sokongan bagi lesen perniagaan kecil-kecilan dari DBKL untuk adiknya yang menjual laksa.

“Dia (Fauzi) kata di sini tak boleh berniaga. Tapi kalau di kawasan pembangkang kalau tempat itu tak boleh berniaga, mereka cadangkan tempat mana yang boleh berniaga. Mereka akan anjakkan kawasan berniaga. Bukan senang-senang tolak,” katanya.

Katanya, perniagaan adiknya itu sudah bertapak sejak 15 tahun lalu.

“Dia pernah datang minum di sini (sebelum menang). Dia (Fauzi) cakap kalau ada apa-apa masalah bagi tahu dia. Selepas menang, saya pergi jumpa beberapa bulan lepas tu, tiba-tiba dia cakap; ‘oh, tempat itu tak boleh berniaga’.

“Kalau Melayu tak nak tolong Melayu, siapa lagi nak tolong,” katanya.

Katanya, disebabkan tekanan hidup yang mendesak hari ini, di Setiawangsa saja boleh dilihat semakin ramai orang berniaga di kaki lima untuk menambah pendapatan mereka.

Aktivis PH berharap perbandingan seperti itu akan membantu mereka melonjakkan nama Nik Nazmi, yang merupakan exco kerajaan Selangor.

“Ini kerana dia (Nik Nazmi) masih muda dan dia exco Selangor. Sekarang pengundi menitikberatkan latar belakang seorang calon.

“Orang dah kenal muka dia sebab di Setiawangsa ini bandar bukan kawasan kampung,” kata sumber yang enggan mendedahkan namanya.

“Kita buka kaunter pendaftaran mengundi seperti di pasar malam dan edarkan risalah dan adakan aktiviti serta program bersama penduduk.

“Mereka beritahu terkesan dengan isu semasa seperti GST, harga minyak. Apabila kami buka kaunter pendaftaran, ramai yang merungut,” kata aktivis itu.

Tetapi katanya, cabaran besar buat mereka adalah untuk menyebarkan mesej di kawasan kem tentera, berikutan akses yang ketat.

Fauzi pula sering mengadakan perjumpaan bersama anggota tentera.

Aktivis PH itu berkata, mereka mencetak dan mengedarkan risalah mengenai isu yang melibatkan kebajikan anggota tentera dengan menggunakan isu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) seperti masalah kelewatan bayaran pencen.

“Respons mereka setakat ini memberangsangkan. Tapi isu paling ketara yang mendapat perhatian mereka ialah isu harga petrol,” katanya.

Mereka juga yakin, walaupun undi tentera boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun kalau strateginya betul, PH boleh menang kerusi itu jika undi tentera itu diimbangi oleh pengundi biasa. – 2 Disember, 2017.

Iklan
Iklan