Iklan

Masuk 100 hari PKP, KKM mampu laksana hampir 37,000 ujian Covid-19

Bede Hong4 years ago25th Jun 2020Berita
Covid-19 test irwan majid
Pada 18 Mac 2020, jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi RT-PCR adalah hanya 6,210 ujian, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Jun, 2020.
Iklan

HARI ini masuk hari ke-100 sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada 18 Mac, dan Kementerian Kesihatan (KKM) kini mampu menjalankan 36,812 ujian Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah itu enam kali ganda berbanding sebelum PKP dilaksanakan, tambah ketua pengarah kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata tindakan drastik kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19 dengan mengehadkan pergerakan orang ramai serta menutup pintu masuk antarabangsa telah memberi ruang kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti kesihatan awam, makmal, klinik kesihatan dan hospital.

“Pada 18 Mac 2020, jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi RT-PCR adalah hanya 6,210 ujian. 

“Selain itu, jumlah katil di hospital dan fasiliti bersesuaian, katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat pernafasan khusus untuk Covid-19 adalah masing-masing 4,433 buah katil, 273 buah katil dan 626 buah mesin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KKM juga masih mempunyai 6,397 jumlah katil untuk pesakit Covid-19-19, tambah beliau.

“Begitu juga dengan mesin-mesin ventilator memandangkan hanya terdapat 2 kes Covid-19 yang menggunakan ventilator.”

Menurut Dr Noor Hisham lagi, jumlah kes aktif kini menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian juga menurun kepada 1.4% daripada jumlah keseluruhan kes. 

“Ini menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan. Kejayaan meratakan lengkung graf kes Covid-19 dan juga mengurangkan penularan di dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak, termasuk komuniti dan masyarakat.

“Kini, bagi memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP Pemulihan ini, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar iaitu dengan mematuhi sepenuhnya segala nasihat yang diberi dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. 

“Malaysia harus bersedia ke arah kehidupan normal dengan normal yang baharu,” kata Dr Noor Hisham. – 25 Jun, 2020.

Iklan
Iklan