Iklan

Kementerian Kesihatan tidak luluskan penggunaan terowong basmi kuman

Bede Hong4 years ago26th Jun 2020Berita
disinfection tunnel epa
KKM berkata terowong atau kotak basmi kuman tidak berkesan menghapuskan koronavirus pada seseorang malah ia sebaliknya boleh menyebabkan serangan asma. – Gambar EPA, 26 Jun, 2020.
Iklan

PENGGUNAAN terowong basmi kuman oleh sekolah, syarikat atau di perhimpunan awam seperti kenduritidak dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan kerana potensi bahaya terhadap kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengulangi nasihat sebelumnya oleh kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang terowong basmi kuman seperti itu, juga dikenali sebagai kotak basmi kuman, tidak berkesan.

“Kami sudah meneliti penggunaan terowong ini, dan tiada bukti klinikal ia bermanfaat atau bahkan dapat melindungi seseorang itu,” katanya kepada akhbar harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

“Kami khuatir penggunaan terowong ini tidak akan membasmi kuman seseorang kerana virus itu ada di dalam badan, bukan di permukaan.

“(Virus apa pun) di permukaan akan ada hanya dalam jangka waktu yang singkat dan (terowong basmi kuman) juga tidak memadai.”

Noor Hisham juga berkata bahan kimia yang digunakan untuk menyembur pada individu boleh menyebabkan radang pada kulit dan mata.

“Ini juga mungkin menyebabkan serangan asma. Kami tidak menggalakkan penggunaan terowong itu.”

Lebih setengah juta pelajar Tingkatan 5 dan 6 memulakan kelas pada Rabu, ketika 2,400 sekolah dibuka semula di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya semalam berkata sekolah dibenarkan memperbaiki SOP yang bertujuan untuk membendung Covid-19.

Pada April, sebulan selepas perintah kawalan pergerakan, Noor Hisham berkata bahagian penilaian teknologi kesihatan pihaknya menerima permohonan membasmi kuman menggunakan kotak, terowong, bilik, pagar basmi kuman.

Unit ini mendapati tiada kaedah yang digunakan memadai untuk membasmi kuman seseorang daripada dijangkiti virus Covid-19.

Penyemburan bahagian luar badan dengan alkohol atau klorin tidak membunuh virus di dalam tubuh orang yang dijangkiti dan boleh membahayakan selaput lendir, seperti mata, mulut, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada April.

Selain itu, kontak masa bagi penyemburan basmi kuman 20 hingga 30 saat didapati tidak mencukupi untuk mematikan koronavirus.

Kementerian Kesihatan berkata kaedah terbaik untuk mengekang penyebaran Covid-19 adalah dengan menjaga jarak sosial, kebersihan diri dan penggunaan topeng muka. – 26 Jun, 2020.

Iklan
Iklan