Janji hapus tol, subsidi minyak pembangkang cemarkan alam sekitar, kata Najib
Iklan
POLISI “hapuskan tol dan subsidi minyak” yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) bakal meningkatkan pencemaran udara negara kata Perdana Menteri Najib Razak.
Beliau berkata bukan saja PH masih tidak dapat menjelaskan bagaimana polisi mereka dapat dibiayai, malah menyebabkan penambahan kenderaan di atas jalanraya ketika usaha sedang ditingkatkan untuk menangani fenomena perubahan iklim yang melanda dunia ketika ini.
“Bukan saja mereka tidak tahu bagaimana mahu membiayai polisi-polisi ini, ia turut bakal menyebabkan penambahan kenderaan di jalanraya, menambah kadar CO2 di udara dan jejak karbon yang sepatutkan kita kurangkan, bukan tambah jika kita mahu dunia ini selamat untuk kehidupan sejagat,” kata beliau pada Wacana Antarabangsa Anak Muda Kuala Lumpur Ke-2 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Najib berkata kerajaan persekutuan setakat ini berjaya menjalankan polisi yang boleh mengurangkan pengeluaran karbon dioksida kini sehingga 45% pada 2030, berbeza dengan janji manis kosong pembangang yang tidak mempedulikan alam sekitar.
“Usaha kami dalam perkara ini membuahkan hasil. Sebelum ini kami telah berikrar untuk mengurangkan pengeluaran CO2 sehingga 40% menjelang 2020 berdasarkan perkiraan pada 2005. Dan pada 2015, kita telah berjaya mengurangkan 33% - jadi anda boleh lihat kita dalam jalan yang betul.
“Kita turut menyasarkan untuk mencapai pengurangan sehingga 45% pada 2030, dan mencapai karbon neutral pada 2050 - bukti komitmen kita terhadap anak muda dan generasi masa depan.
“Ini komitmen sebenar, bukan janji murahan – seperti mana yang mungkin kamu dengar daripada ahli politik yang menjanjikan pengurangan tol dan penambahan subsidi minyak,” kata beliau.
Tahun lalu, Najib mengumumkan kerajaan kini membiayai sebanyak 200 projek teknologi hijau di seluruh negara melibatkan kos sebanyak RM2.6 bilion, bukti komitmen negara dalam usaha mengurangkan masalah perubahan cuaca.
Ini merupakan susulan pernyataan komitmen Malaysia dalam Sesi Ke- 15 Pihak-Pihak ke Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim di Copenhagen (2009) (COP15) .
Bagaimanapun dalam Bajet 2018 yang diumumkan Oktober lalu, Najib turut mengumumkan penutupan empat tol - Batu Tiga dan Sungai Rasau Lebuh Raya Persekutuan, Selangor; Bukit Kayu Hitam di Perlis dan Lebuh Raya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL) yang dituduh PH sebagai meniru polisi mereka dan gula-gula pilihan raya.
Wacana Anak Muda ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai persatuan, universiti dan jabatan kerajaan dan berlangsung sepanjang hari ini sebagai salah satu acara menjelang Perhimpunan Agung Umno 2017 yang bakal bermula Selasa ini. – 3 Disember, 2017.