Iklan

Joker dalam Langkah Sheraton

Hasmi Hashim4 years ago30th Jun 2020Suara
Iklan

DALAM komik Batman, ada Joker. Dalam babak pembukaan filem The Dark Knight seakan-akan sudah ditunjukkan permainan muslihat politik Malaysia hari ini.

Di sana perompak akhirnya mengkhianati perompak. Bertembak sesama sendiri. Masing-masing tamak bukan main. Memendam hasrat untuk membolot hasil rompakan yang paling besar.

Semua perompak memakai topeng pelawak. Topeng “joker”. Supaya orang tidak kenal. Di samping perancangan yang dibuat secara konsensus, masing-masing sebenarnya punya rancangan sendiri-sendiri. Disorok dalam hati.

Joker, atau perompak yang paling besar itu, bukan setakat pakai topeng; di dalamnya, muka pun turut diconteng, atau dilukis dengan imej joker juga. Menjadi selapis lagi “topeng” yang menempek pada wajah.

Lambang komplot di atas komplot. Topeng di atas topeng.

Memang filem adalah realiti yang dilebih-lebihkan. Dan tanpa realiti, tiada filem.

Filem tidak lain merupakan cermin atau bayangan kepada kehidupan sebenar. Termasuk kehidupan politik. Di situ, kita boleh mengambil filem laksana “kebenaran yang disembunyikan”. Tetapi tidaklah disembunyikan terlalu jauh sampai kita tidak dapat mengaitkannya dengan kehidupan.

Inti dalam filem berkenaan ialah kisah pengkhianatan. Kawan khianat kawan. Dan pengkhianatan itu sendiri merupakan antara jejak hidup setiap manusia. Tiap-tiap kita, pasti akan dikhianati. Secara jelas atau tidak. Besar atau kecil.

“Langkah Sheraton” tidak lain ialah sebuah pengkhianatan. Sejarah akan merakamnya sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat.

Pengkhianatan itu pula adalah sejenis perompakan. Persis filem The Dark Knight pada 2008 yang saya seret sejak awal tulisan ini. “Merompak” bermakna apabila seseorang atau sesuatu pihak mengambil secara paksa apa yang bukan haknya.

Kelmarin bertempek laungan “Najib adalah perompak”. Laungan itu muncul apabila Najib Razak dikatakan menjarah dana 1MDB. Dana berkenaan bukan miliknya. Ia milik negara. Milik rakyat.

Apabila Najib menjarah dana milik negara dan rakyat, maka dia digelar perompak. Bezanya dengan Perikatan Nasional (PN) yang berdiri tempoh hari, pemainnya mengambil secara paksa kuasa atau mandat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ramai orang sangka, Langkah Sheraton telah berakhir. Sebenarnya belum.

Sebenarnya menumbangkan PH hanya permulaan saja. Kalau dalam filem, kumpulan perompak hanya baru dapat menembusi sistem kawalan keselamatan bank, dan sedang memasukkan wang dalam beg-beg hitam yang besar.

Mereka belum sempat lari. Selepas ini, akan ada adegan tembak menembak sesama mereka. Tunggu saja. Sekejap lagi – sabar adalah separuh daripada imam.

Selain merompak sebuah kerajaan, Langkah Sheraton juga ada dua matlamat yang lain. Selagi dua matlamat berkenaan tidak tercapai, maka misi sang pengkhianat belum selesai. Perompak belum berjaya keluar dari bank.

Matlamat kedua ialah mengangkat joker sebenar sebagai Perdana Menteri (PM). Dalam tulisan minggu lalu, inilah saya jelaskan bahawa Muhyiddin Yassin bukan PM sebenar dalam Langkah Sheraton. Muhyiddin cuma PM sementara — watak penempek yang terpaksa diterima sebagai hero dengan tergesa-gesa.

Ada orang lain yang mahu merampas tempat Muhyiddin. Lagi cepat, lagi bagus. Orang itu tidak berada dalam PH. Tidak juga berada dalam PKR.

Dia berada di sisi atau betul-betul di sebelah Muhyiddin. Mungkin mereka pernah berpelukan.

Dalam bayangan yang lain, susah sebenarnya polis mahu menembak perompak. Sebabnya polis masih belum sampai. Kalau sudah sampai pun, jarak polis dengan perompak adalah jauh. Kedua-duanya mempunyai senjata.

Jarak perompak dengan perompaklah yang paling dekat. Mereka dalam kumpulan yang sama. Sama-sama merompak.

Namun dalam kumpulan perompak, ada “Joker” yang licik. Dia tidak mahu dia sendiri menembak rakannya, yakni Muhyiddin. Dia memang mahu kalau boleh, polis yang menembak dan membunuh Muhyiddin!

“Polis” itu adalah PH.

Di depan Muhyiddin, mulutnya manis. Di belakang, komplot lain untuk menikam diatur.

Muhyiddin perlu dikorban untuk sebuah ‘kebebasan’. Apabila Muhyiddin “mati”, maka apa yang disebut sebagai “episod pengkhinatan” akan berakhir. PM baharu pun perlu dilantik.

Dalam dunia mafia ala Joker, hero atau “PM sebenar” itulah Joker – yang mengatur dan menjalankan operasi perompakan.

Malangnya perancangan tersebut telah diketahui. Maka babak perlu diubah. Orang sudah tahu, merampas kembali kerajaan PN tidak lebih hanya usaha untuk menggulingkan Muhyiddin. Kerajaan PH yang kembali berkuasa, tetap tidak stabil. Nanti akan ada perikatan baharu lagi.

Kini pasukan polis perlu dipecah-belahkan. Dengan pepecahan polis, maka dia boleh kembali membeli keyakinan Muhyiddin. Konon semuanya adalah sebahagian daripada tanda setia dan dia telah berusaha melemahkan pihak polis (baca: PH).

Balasan yang dinantikan ialah mendapat imbuhan daripada Muhyiddin. Mereka meyakini hayat Muhyiddin pun tidak lama lagi. Keadaan kesihatan Muhyiddin sudah lemah dan tidak mengizinkan dia lama sebagai PM.

Begitu juga Mahathir. Sudah sangat tua. Tuanya Mahathir dan sakitnya Muhyiddin juga merupakan sebuah kesempatan.

Kalau perancangan awal untuk menggunakan Mahathir sebagai calon PM – dan kalau helah itu berjaya – maka peluang menjadi pengganti Mahathir sangat cerah.

Ketua joker memang mempunyai hubungan bukan saja dengan Muhyiddin, tetapi juga dengan Mahathir yang sekali lagi mahu menjadi “ketua polis”.

Semua yang di atas adalah termasuk dalam matlamat kedua Langkah Sheraton yang masih belum selesai.

Hanya seorang polis saja yang tidak boleh dibeli. Yakni Anwar Ibrahim. Lalu dengan apa caranya Anwar perlu diganggu dan disekat.

Anwar ibarat polis yang baik: good cop. Bukan polis yang jahat: bad cop. Antara good cop dengan bad cop, ada pula polis yang keliru. Macam orang minum air ketum.

Maka di situ jualah matlamat ketiga atau tertinggi perlu dijayakan, yakni membunuh sama sekali good cop. Agar seluruh Gotham dapat dikuasai. Wilayah boleh diperintah sesuka hati.

“Tiada patah balik. Kamu telah mengubahnya… selama-lama,” sekali kata pelakon yang berlakon sebagai Joker. – 30 Jun, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

Iklan
Iklan