Permohonan MM2H ditolak, Malaysia rugi RM776 juta, kata ejen
Iklan
PENOLAKAN 90% permohonan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menyebabkan negara rugi RM776 juta, kata ejen.
Presiden Persatuan Ejen Malaysia Rumah Keduaku (MM2HCA) Lim Kok Sai berkata lebih 1,000 permohonan dihantar antara September hingga November tahun lalu ditolak tanpa sebarang alasan.
“Penolakan ke atas lebih 1,000 permohonan ini bermakna kerugian kira-kira RM776 juta,” katanya pada sidang media hari ini.
Lim juga berkata sebelum ini hanya 10% permohonan yang ditolak disebabkan status kewangan dan isu pelepasan keselamatan pemohon. Paling tidak pun, kami terpaksa pulangkan wang.
Tambah beliau, ejen di bawah MM2HCA kini bingung kerana terpaksa memulangkan semula wang kepada pemohon.
“Kami akan kemuka rayuan dahulu dan cuba hantar semula permohonan.
“Tetapi ada masalah juga sebab ejen sudah belanjakan sebahagian wang, terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka perlu bayar gaji.”
MM2HA juga sedang cuba untuk mengatur pertemuan dengan pegawai kerajaan untuk membincangkan isu ini.
“Kami tidak salahkan sesiapam cuma mahu cari jalan penyelesaian. Kami dalam keadaan tersepit, kami tak mahu berhentikan pekerja. Sukar untuk mencari kerja sekarang ini,” kata Lim.
Permohonan MM2H sebelum ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya (Motac), tetapi Jabatan Imigresen hari ini mengesahkan telah mengambil alih permohonan bagi visa program itu.
Lim berkata para ejen tidak tahu menahu mengenai perubahan ini. – 2 Julai, 2020.
Sejak bermulanya PKP pada Mac lalu, Putrajaya juga menutup pintu sempadan untuk semua warga asing kecuali kategori tertentu.
Pemegang visa MM2H juga tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, menyebabkan hampir 200 orang tersadai di luar negara.
Program MM2H dilancarkan pada 2002 dengan majoriti pemohon adalah warga China, diikuti Jepun, Bangladesh, United Kingdom dan Korea Selatan.