Pemimpin Bersatu yakin laporan RCI tak jejas Pakatan tawan Putrajaya
Iklan
LAPORAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang melibatkan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim tidak memberi sebarang kesan untuk Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.
Menurut Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, orang ramai sedia maklum bahawa dakwaan tersebut merupakan kepentingan politik sesetengah pihak semata-mata.
RCI skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu menggesa polis untuk menyiasat bekas perdana menteri itu dan bekas menteri kewangan Anwar kerana mendapati kedua-duanya mungkin bersubahat dengan bekas penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop dalam menyembunyikan beberapa fakta berhubung perkara itu kepada Kabinet.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pula menyifatkan isu 30 tahun itu merupakan keputusan tergesa-gesa yang dibentangkan di Parlimen pada Khamis lalu.
“Baru-baru ini, bila kes RCI yang dibuat Najib secara tergesa-gesa.
“Ia segera dibentang, terburu-buru dalam Parlimen, tak ada perbahasan, tiba-tiba ada salah guna kuasa yang melibatkan Tun M (Dr Mahathir), Tun Daim Zainuddin, Mohamed Nor dan Anwar Ibrahim.
“Mungkin ada muslihat. Ini 30 tahun lalu,” katanya ketika berucap di ceramah tersebut di hadapan kira-kira 300 orang para hadirin.
Dalam laporan setebal 400 muka surat yang dibentangkan di Dewan rakyat, Daim yang dilantik sebagai menteri kewangan mulai 14 Julai 1984 hingga 15 Mac 1991 bertanggungjawab kepada BNM.
Laporan itu turut menyimpulkan bahawa Bank Negara mengalami kerugian RM31.5 bilion dalam dagangan forex antara 1992 hingga 1994, dan Nor Mohamed yang menjadi sebahagian daripada pengurusan Bank Negara pada ketika itu sebagai pihak yang bertanggungjawab.
Mukhriz turut mempertikaikan proses RCI yang dijalankan tersebut, di mana RCI dijalankan terlebih dahulu sebelum ia disiasat ke pihak polis.
Ini kerana RCI merupakan badan yang tertinggi bagi menyiasat kes-kes sedemikian.
“Pelik bila mereka lakukan RCI terlebih dulu dan kemudian ia dibawa untuk siasatan polis. RCI sepatutnya peringkat tertinggi dalam siasatan. Tapi tak kisahlah. Kenyataan Tun (Dr) Mahathir tidak dimasukkan atau dipadam dalam laporan itu.
RCI, yang diketuai bekas ketua setiausaha negara Mohd Sidek Hassan membentangkan laporan 524 muka surat itu di Parlimen pada Khamis.
Dalam laporon itu lagi, RCI percaya perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu, Anwar, yang mengakibatkan bank pusat mengalami kerugian.
Suruhanjaya itu juga berpandangan menteri kewangan ketika itu sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan mengelirukan kepada jemaah menteri berhubung perkara itu.
Susulan itu, setiausaha RCI mengenai kerugian urus niaga mata wang asing BNM pada 1990-an, Dr Yusof Ismail membuat laporan polis berdasarkan syor dan rumusan RCI di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. – 4 Disember, 2017.