Tidak sihat, tapi Dr Mahathir sempat sediakan pesanan untuk penyokong
Iklan
DISEBABKAN keadaan kesihatan yang tidak menggalakkan, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad tidak dibenarkan hadir ke ceramah Jelajah Semarak anjuran parti itu di Ipoh, Perak malam tadi.
Beliau bagaimanapun memohon maaf atas ketidakhadirannya itu melalui video berdurasi 10 minit yang dipertontonkan kepada lebih 300 orang hadirin.
Dr Mahathir dalam video tersebut, menggesa rakyat supaya membersihkan nama negara di bawah pentadbiran pemimpin kleptokrasi dengan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Kita bukan dikatakan negara demokrasi tapi kleptokrasi. Dan maknanya pemerintahan oleh penyamun dan penyangak.
“Kita berasa amat malu pemimpin kita dituduh sedemikian tapi bila kita lihat apa yang sedang berlaku, memang patut pun kenapa ia dipanggil dengan nama tak baik itu.
Namun, katanya, keadaan itu berubah sama sekali apabila anak sulung kepada perdana menteri kedua mengambil alih pentadbiran negara ini.
Membandingkan objektif Bersatu yang mementingkan rakyat dengan Umno, parti Melayu terbesar itu, perdana menteri keempat itu berkata Umno hari ini hanya menyogokkan wang kepada rakyat untuk meraih sokongan.
Beliau turut memberi contoh sekolah Tamil di negara ini yang diberikan peruntukan oleh Najib baru-baru ini.
“Dulu sekolah Tamil tak cukup peruntukan, tapi sekarang bagi sebab bukan niat baik tapi nak sokongan Cina, Melayu, India,” katanya.
Najib semalam mengakui bahawa beliau merupakan perdana menteri yang memberikan peruntukan paling tinggi untuk sekolah Tamil iaitu hampir RM1 bilion sambil menggesa masyarakat India untuk percaya kepada kerajaan Barisan Nasional yang terus mengotakan janji.
Dr Mahathir dalam video itu menambah, berita mengenai angka pertumbuhan ekonomi negara sedap didengar tetapi kesahihannya tidak diketahui kerana rakyat bukan sahaja semakin menderita dengan kos sara hidup yang tinggi, tetapi ramai juga peniaga kecil-kecilan menutup perniagaannya.
Pemimpin berusia 92 tahun itu turut meyakinkan orang ramai supaya membuat keputusan yang betul ketika PRU nanti, sambil memberitahu bahawa peruntukan wang untuk kepentingan rakyat seperti pendidikan dan kesihatan masih tidak mencukupi kerana ia digunakan untuk membeli sokongan rakyat.
“Kita tak dapat biasiswa untuk anak kita belajar, barang mahal, di hospital tak dapat layanan sebab ubat berkurangan.
“Bajet memang nampak baik, tapi peruntukan menteri dalam kementerian, dinasihatkan jangan belanja,” katanya.
Ceramah tersebut sepatutnya menjadi pertemuan pertamanya dengan rakyat selepas memberi kata dua kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dagangan mata wang asing agar menghentikan pengedaran laporannya atau bekas perdana menteri itu akan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menyekatnya.
RCI forex Bank Negara Malaysia (BNM) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu menggesa polis untuk menyiasat Dr Mahathir dan bekas Menteri Kewangan Anwar Ibrahim kerana mendapati kedua-duanya mungkin bersubahat dengan bekas penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop dalam menyembunyikan beberapa fakta berhubung perkara itu kepada Kabinet. – 4 Disember, 2017.