Penyokong Bersatu anggap laporan RCI 'permainan politik' PRU14
Iklan
WALAUPUN laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) forex Bank Negara Malaysia (BNM) mengaitkan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dengan kesalahan pecah amanah, sokongan penyokong Bersatu terhadap bekas perdana menteri itu tidak tergugat.
Isu 30 tahun lalu itu tidak menghakis sokongan mereka kerana mereka sedar ia merupakan agenda Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang. Bagi mereka, isu yang lebih penting adalah isu kos sara hidup, sesuatu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
Berikut adalah beberapa pandangan rakyat mengenai isu RCI:
1. Zainun Mohd Nasir, 70, Surirumah
“RCI dia audit balik, yang 1MDB tu tak audit balik? Rakyat ni tolonglah buka mata sikit.. jangan percaya (dengan berita RCI). Mak cik dengar, mak cik geram.
“Mahathir pegang negara dulu tak susah macam ni. Mak cik terkejut beli ikan pun mahal. Dia tahu tak, rakyat susah, beli barang mahal.
2. Norhayati Abdullah, 35, jururawat
“Saya tak ikut sangat dengan isu RCI. Tapi, kita kena bandingkan hidup kita zaman Tun M (Dr Mahathir) macam mana dan sekarang macam mana (zaman pentadbiran Najib Razak).
“Berbeza dengna Tun M (Dr Mahathir), dia nak bangkitkan semula negara. Bia bantu kita balik walaupun orang kata Tun M ni nyanyuk, tapi tak, sebab dia lagi tahu (nak tadbir negara).
“Bukan kita nak bangkang Umno. Tapi ia parti yang agak terpesong. Seperti kepentingan sendiri bukan kepentingan rakyat.”
3. Zakaria Harun, 45, pekerja kilang
“Pasal RCI saya tak tahu sangat sebab saya kerja shift jadi tak dengar berita sangat. Saya dengar-dengar macam tu je.
“(Ia) macam tunding jari kat Tun M (Dr Mahathir) dan bangkitkan kisah lama-lama (Dr Mahathir) sebab mereka (Barisan Nasional) ada kuasa.
“Cuma lepas dengar saya 50-50 untuk percaya atau tak.”
4. Roslan Abdul Aziz, 57, Kontraktor
“Saya memang ada ikut pasal RCI ni. Tapi ni semua agenda nak PRU ni. Mereka nak lemahkan Pakatan Harapan.
“Apa-apa pun, sokongan saya masih sama. Saya bukan baca surat khabar, tengok tv je kat berita tapi saya baca berita di Facebook jugak. Tengok video di Facebook.”
5. Yahya abu hashim, 61, pesara kerajaan
“Saya nampak RCI forex tu tergesa-gesa. Ni sebab PRU.
“1MDB macam mana? Apa jadi?
“Dulu kita kerja dengan kerajaan lepas tu tak boleh tunjuk (sokong pembangkang).”
6. Noraini mohd yatim, 61, surirumah
“Saya datang sebab nak dengar penjelasan yang lebih jelas. Dan kita boleh nilai. Saya tak nak dengar sebelah pihak saja.
“Mereka (BN) bangkitkan pasal RCI, benda ni dah lama. Tapi masa tu kita tak susah. Itu isu 30 tahun. Kenapa kita nak ungkit lagi? Yang ke depan ni kena siasat (1MDB).
“(RCI hanya) nak tunjukkan yang Tun M (Dr Mahathir) buat salah, dan nak bagi orang kampung tak sokong PH. Saya memang ikut isu ni.
“Saya tak peka sangat dengan harga barang. Tapi anak-anak makcik baru nak hidup, lagi terasa susah. Susu, pampers (harga) naik, memang susah.
“Dulu saya sokong PAS, sekarang no way, sebab PAS pun sokong Umno.” – 4 Disember, 2017.