Iklan

PM Shafie bukan penyelesaian jangka panjang, kata penganalisis

Bernard Saw4 years ago5th Jul 2020Berita
49929276702 201a1cb1e5 b
Persoalan utama sekarang adakah Mohd Shafie Apdal bersedia melepaskan keselesaan di Sabah dan masuk ke persekutuan yang tak stabil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.
Iklan

PENCALONAN Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan Plus oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hanyalah penyelesaian jangka pendek, kata penganalisis.

Kata mereka, sebab utama Shafie dicalonkan adalah kerana Anwar Ibrahim kekurangan sokongan ahli Parlimen.

Dilaporkan juga yang Dr Mahathir berjaya mendapatkan sokongan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein yang menyokong pencalonan Shafie sebagai perdana menteri PH Plus.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali memberitahu The Malaysian Insight yang jika Azmin dan Hishammuddin menyokong Dr Mahathir dan juga Shafie, PH Plus akan mempunyai sokongan 116 ahli Parlimen.

Menurut aturan kerusi Dewan Rakyat pada sidang 18 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan 114 ahli Parlimen, hanya lebih 3 kerusi berbanding PH.

Mazlan berkata Dr Mahathir besar kemungkinan mencapai persetujuan dengan Azmin dan Hishammuddin untuk merampas kuasa dalam pertemuan yang dikatakan berlaku di Langkawi baru-baru ini.

Untuk rekod, pembantu Dr Mahathir sudah menafikan pertemuan itu berlaku.

“Dr Mahathir mencalonkan Shafie kerana dia tahu tidak ada sokongan cukup jika dia calonkan Anwar. Anwar tidak dapat sokongan Warisan, kumpulan Dr Mahathir dalam Bersatu dan parti Sarawak. Itu masalahnya,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.

Masalah Anwar Ibrahim adalah beliau tidak cukup sokongan dalam Pakatan Harapan dan sekutunya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

Mazlan juga berkata matlamat lain Dr Mahathir adalah untuk mengukuhkan kedudukan Shafie di Sabah, di mana beliau adalah ketua menteri dan presiden Warisan, dengan sokongan DAP dan Amanah.

“Strategi Dr Mahathir adalah untuk mengekalkan objektif PH merampas balik kuasa adalah munasabah, dan jika Shafie tidak bertindak, semuanya akan berakhir.

“Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan Umno sudah menyerang Shafie, jika dia menjadi calon perdana menteri PH, secara logiknya ia akan mengukuhkan kedudukannya.

“Saya rasa dengan gabungan wakil rakyat DAP, Amanah, Warisan, sekutu Azmin dan Hishammuddin, Dr Mahathir sekarang ada 116 sokongan,” katanya.

Mazlan berkata Anwar juga mungkin enggan menyokong pelan Dr Mahathir yang menyaksikan negarawan itu mencalonkannya sebagai perdana menteri dan Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri.

Shafie tak akan setuju

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata strategi Dr Mahathir tidak akan berjaya.

Lau berkata, Shafie adalah orang lama politik dengan rekod sendiri dan bersetuju menjadi perdana menteri jangka pendek mungkin menghancurkan kerjaya politiknya.

Disebabkan autonomi Sabah dan Sarawak, ketua menteri negeri itu mempunyai lebih banyak kuasa berbanding menteri persekutuan, tetapi kurang daripada timbalan perdana menteri.

“Adakah mungkin seseorang dari Warisan akan jadi timbalan perdana menteri? Saya tak fikir boleh dilakukan.

“Jadi Shafie diberikan jawatan perdana menteri, tetapi ia bukanlah yang terbaik kerana dia perlu melepaskan jawatannya di Sabah. Jika kerajaan persekutuan kekal tak stabil, bolehkah dia kembali ke Sabah dan menjadi ketua menteri lagi?

“Kerajaan persekutuan nampaknya tak stabil sekarang, tetapi kerajaan Sabah nampaknya bertapak baik. Jadi, saya tak fikir Shafie akan ambil tawaran jadi perdana menteri,” katanya.

Matlamat Dr Mahathir Mohamad sekarang adalah menghalang kumpulan Muhyiddin Yassin bersama-sama Umno dan PAS terus berkuasa, dan ia hanya boleh dilakukan menerusi Warisan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

Tambah Lau, Shafie juga nampaknya tidak perlu risau dengan cabaran terhadapnya dalam Warisan dan beliau boleh menamakan sesiapa sahaja dalam parti untuk mengambil jawatannya.

Bagaimanapun, Warisan tidak mempunyai calon lain yang layak kerana ia adalah parti pelbagai kaum dan tidak ada pemimpin kanan parti itu setakat ini yang nampaknya layak untuk jawatan perdana menteri.

“Mungkin pilih calon hebat lain selain Shafie untuk jadi perdana menteri selama dua tiga tahun lagi boleh dibuat, terutama sekali jika PKR setuju,” kata Lau.

Tetapi, tambah Lau, kerajaan persekutuan sudah separuh penggal dan masih tidak jelas sama ada Shafie akan menerima pencalonan itu, apatah lagi hendak memikirkan calon lain pula.

Kata Lau lagi, lebih mudah untuk politikus muda berundur selepas diangkat ke jawatan besar kerana mereka kurang komitmen.

“Jika Shafie berundur selepas menjadi perdana menteri, buruk untuk kerjaya politiknya dan nampak tak elok juga. Jika orang lain, mungkin ia lebih mudah,” katanya.

Menyentuh cadangan Mukhriz dilantik, Lau berkata ia juga sukar terlaksana.

“Shafie dan Mukhriz tidak boleh dan tidak akan berundur dengan mudah,” katanya.

Lau berkata, tidak realistik untuk politikus muda menduduki jawatan tertinggi kepimpinan negara dan kemudiannya menyerahkannya kepada orang lain.

Beliau merasakan Shafie tidak akan setuju dengan pencalonan itu, PKR juga tidak akan menyokong.

Matlamat jangka pendek Dr Mahathir

Mazlan dari UTM bersetuju yang strategi itu bukanlah penyelesaian jangka panjang untuk kemelut berpanjangan politik negara tetapi hanyalah satu kaedah rampasan kuasa.

“Saya fikir Dr Mahathir tak merancang ia berpanjangan sehingga pilihan raya akan datang, hanya untuk rampas kuasa ketika ini dan rancang benda lain nanti.

“Aturan untuk PRU15 akan berbeza kerana akan ada strategi baharu, tetapi matlamat Dr Mahathir sekarang hanyalah untuk rampas kuasa dari Muhyiddin,” katanya.

Katanya lagi, PKR juga tidak akan memutuskan hubungan dengan sekutu PH- DAP dan Amanah- kerana ia masih diperlukan.

“Kita sedang bercakap tentang situasi semasa, dan untuk mendapatkan semula mandat rakyat,” katanya. – 5 Julai, 2020.

Iklan
Iklan