Iklan

Jika dapat mandat besar, kami lantik 30% wanita jadi senator Dewan Negara, kata Najib

Melati A. Jalil7 years ago4th Dec 2017Berita
Najib razak makkal sakti agm 01
Jika BN menang besar pada pilihan raya umum akan datang, kerajaan akan memastikan 30% senator Dewan Negara terdiri daripada wanita, janji Perdana Menteri Najib Razak hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2017.
Iklan

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) akan mempertimbangkan untuk menambah jumlah senator wanita Dewan Negara jika mendapat mandat besar dalam pilihan raya umum akan datang, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Bercakap pada majlis Wanita dalam Politik Kuala Lumpur 2017, Najib berkata kerajaan BN perlu mendapat majoriti yang diperlukan, jika rakyat mahukan perubahan itu berlaku. 

“Jika kita dapat majoriti yang diperlukan pada pilihan raya umum akan datang kita akan kenakan kuota untuk Dewan Negara supaya ia perlu terdiri daripada tidak kurang 30% wanita sebagai permulaan.

“Saya mahu lihat rancangan ini berjaya dilaksanakan kerana itu saya berharap kita dapat mandat besar dalam pilihan raya,” katanya ketika merasmikan persidangan antarabangsa itu yang berlangsung sempena Perhimpunan Agung Umno 2017 itu.

Katanya, kerajaan boleh memulakan usaha itu dengan melantik wanita sebagai senator bagi memastikan kemahiran kepimpinan wujud di Dewan Negara.

Beliau juga mengatakan penglibatan lebih ramai wanita dalam politik akan menjadi cerminan pecahan pengundian yang lebih baik serta menjadikan proses politik lebih inklusif.

“Umno sendiri sudah lama bergantung kepada sayap Wanita bagi mengekalkan hubungan akar umbi, terutama sekali di kawasan pedalaman.

“Dan kerana itulah Wanita Umno dikenali sebagai tulang belakang parti,” katanya.

Najib juga mengulangi inisiatif kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 30% lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan berkanun adalah wanita menjelang hujung tahun 2018.

Beliau juga mahukan wanita membentuk 30% lembaga pengarah syarikat tersenarai awam (PLC).

“Mengenai ini, kita sekarang masih tak capai sasaran. Jadi saya beri amaran bermula tahun depan, kerajaan akan menamakan dan memalukan PLC yang tidak mempunyai wanita dalam lembaga pengarahnya. Mereka mungkin tidak akan diberikan kontrak kerajaan,” katanya. – 4 Disember, 2017.

Iklan
Iklan