Rakyat jadi keutamaan, kata Hamzah kepada Al Jazeera
Iklan
MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mempertahankan tindakan serbuan terhadap pendatang asing semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan memberitahu saluran berita antarabangsa Al Jazeera, “rakyat Malaysia menjadi keutamaan”.
Beliau menyangkal laporan Al Jazeera mengenai serbuan itu yang berkata Malaysia mendiskriminasi pendatang tanpa izin semasa pandemik Covid-19.
“Walaupun media asing mendakwa kita bersikap keras dan tegas, itulah yang rakyat mahukan. Rakyat memerlukan kerajaan yang tegas terhadap individu melakukan jenayah.
“Kami tidak terasa hati apa yang media asing kata kerana mereka sering menyebarkan cerita karut,” kata Hamzah kepada wartawan pada sidang media di Pelabuhan Klang hari ini.
Setiausaha agung Bersatu itu menambah rakyat tempatan menjadi keutamaan Putrajaya berbanding warga asing.
“Yang penting bagi saya adalah rakyat Malaysia. Kerajaan ini sentiasa berpihak kepada rakyat Malaysia,” kata Hamzah.
Bagaimanapun, Malaysia masih memerlukan tenaga pekerja asing yang mempunyai dokumen sah ketika negara sedang membangun dan banyak kerja yang perlu dilakukan, tambahnya.
“Kami mahu membangunkan negara ini, kami memerlukan pekerja terutama bagi pekerjaan berat. Kami pasti memerlukan pekerja asing di sini, tetapi yang penting bagi kami adalah mereka mematuhi peraturan.”
Al Jazeera menghasilkan sebuah dokumentari berdurasi 20 minit bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang mendakwa kerajaan mendiskriminasi pendatang tanpa izin.
Semalam, Menteri Kesihatan Adham Baba berkata laporan itu memaparkan tuduhan tidak berasas dan Malaysia menjaga semua orang, tanpa mengira negara asal dan bangsa mereka. – 6 Julai, 2020.