Perikatan dalam proses daftar kerjasama rasmi, kata Hamzah
Iklan
PERIKATAN Nasional (PN) sedang dalam proses pendaftaran untuk menjadikannya sebagai satu pakatan rasmi, kata Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin.
Katanya, semua parti perlu mencari jalan untuk menyelesaikan isu perlembagaan dan struktur dalaman masing-masing.
“Ini juga memerlukan kerjasama semua parti yang memiliki perlembagaan dan prosedur mereka sendiri. Kami mendesak semua parti menyelesaikannya secepat mungkin,” kata Hamzah pada sidang media di Pelabuhan Klang hari ini.
Hamzah juga menafikan tahu mengenai pilihan raya umum yang didakwa berlangsung tahun ini, dengan berkata perbincangan itu dilakukan di kalangan menteri kanan dan perdana menteri.
“Saya tidak tahu kerana saya bukan menteri kanan. Mungkin itu antara menteri kanan dan perdana menteri.
“Saya hanya menteri dalam negeri yang menjaga keselamatan rakyat dan negara,” katanya.
Hamzah berkata hak prerogatif utamanya untuk memastikan rakyat mempercayai kerajaan PN dan kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Agenda utama saya adalah agar rakyat yakin dengan kepemimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri. Kerajaan PN mempunyai gabungan yang lebih kuat berbanding kerajaansebelumnya, ”katanya.
Bekas pemimpin Umno itu, yang menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14, dikatakan seorang daripada individu penting yang menjadikan PN berkuasa pada Februari lalu. – 6 Julai, 2020.