Iklan

Tiada peserta Parlimen Digital dipanggil polis, kata KPN

Kamles Kumar4 years ago7th Jul 2020Berita
Igp hamid bador tmi 02
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador meminta penganjur dan peserta Parlimen Digital untuk tampil memberi kerjasama berhubung dakwaan dipanggil polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 Julai, 2020.
Iklan

POLIS menafikan menghubungi peserta Parlimen Digital untuk bertanya mengenai kecenderungan politik mereka dan aktiviti yang dilakukan hasil inisiatif golongan belia.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menolak dakwaan penganjur Parlimen Digital yang mengatakan beberapa peserta di seluruh Malaysia disoal siasat oleh polis.

“Saya terkejut mereka (penganjur) kata polis panggil mereka.

“Saya periksa dan tidak ada yang dipanggil,” katanya kepada wartawan selepas program di Putrajaya hari ini.

Beliau juga meminta kerjasama daripada pihak penganjur dan peserta untuk tampil bekerjasama dengan polis serta melaporkan setiap dakwaan intimidasi.

“Saya minta kerjasama mereka untuk tampil ke depan. Jangan takut,” katanya. 

Abdul Hamid berkata pasukannya memiliki tugas lebih besar dari menyiasat organisasi yang dipimpin golongan belia.

Parlimen Digital yang dikendalikan oleh Challenger Malaysia, Undi18 dan Liga Rakyat Demokraktik itu mengadakan sesi Dewan Rakyat pada hujung minggu lalu di mana peserta memainkan peranan sebagai 222 anggota Dewan.

Penganjur berkata enam peserta dihubungi pihak berkuasa dan disoal siasat mengenai kecenderungan politik mereka.

Sekretariat program itu menimbulkan kebimbangan mengenai cara peserta disoal siasat polis.

“Beberapa peserta dipanggil ke balai polis untuk disoal siasat tanpa peguam sementara ada yang dipanggil untuk diskusi santai,” katanya.

Inisiatif ini bertujuan untuk membuktikan bahawa sidang Parlimen dapat dilakukan secara dalam talian selepas sesi pada 18 Mei dipendekkan kepada dua jam hanya untuk Titah Diraja di tengah-tengah ketakutan wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan semalam sekretariat Parlimen Digital berkata polis perlu menghubungi pihak penganjur untuk mendapatkan penjelasan dari mengganggu peserta. – 7 Julai, 2020.

Iklan
Iklan