Penganjur Parlimen Digital pertahan dakwaan walau dinafi KPN
Iklan
PENGANJUR Parlimen Digital tetap mempertahankan dakwaan bahawa peserta mereka dipanggil polis walaupun dinafkan oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang mengatakan pasukannya memiliki tugas lebih besar.
Menurut penganjur mereka boleh memberikan maklumat relevan kepada pihak berkuasa berhubung mereka yang dipanggil polis.
“Sebagai penganjur, kami diminta untuk menegaskan bahawa pernyataan yang dibuat bertentangan dengan apa yang dilalui peserta kami.
“Untuk ketelusan, kami sedia berkongsikan maklumat pegawai polis yang terlibat kepada pihak berkuasa berkenaan sekiranya perlu untuk menjelaskan sebarang salah faham,” kata sekretariat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Abdul Hamid berkata polis tidak menyiasat mana-mana peserta kerana banyak perkara lain yang perlu diselesaikan.
“Saya terkejut mereka (penganjur) kata polis panggil mereka. Saya periksa dan tidak ada yang dipanggil.”
Hamid berkata, pasukannya memiliki tugas lebih besar dari menyiasat organisasi yang dipimpin golongan belia dan menggesa penganjur untuk membuat laporan sekiranya terdapat sebarang tindakan intimidasi.
Sekretariat itu juga mempersoalkan mengapa tidak ada penganjur yang dipanggil dan mengapa polis hanya memanggil para peserta.
“Kami menggesa mana-mana pihak berkuasa yang ada sebarang masalah dengan Parlimen Digital untuk menghubungi penganjur sekiranya ada persoalan berhubung acara itu.
“Pihak berkuasa perlu hentikan menghubungi peserta kami,” menurut kenyataan itu.
Parlimen Digital, yang dianjurkan oleh kumpulan belia Challenger Malaysia, Undi 18 dan Liga Demokratik Malaysia, pada hujung minggu lalu mengadakan sesi Dewan Rakyat olok-olok, di mana para peserta memainkan peranan sebagai 222 anggota Dewan.
Menurut penganjurnya, enam peserta dipanggil pihak berkuasa dan disoal siasat mengenai kecenderungan politik mereka.
Sekretariat acara itu membangkitkan rasa bimbang mengenai cara peserta disoal siasat oleh polis.
“Ada peserta yang dipanggil ke balai polis tanpa diiringi peguam, manakala ada yang dijemput untuk perbincangan biasa.”
Inisiatif itu adalah untuk membuktikan bahawa persidangan Parlime boleh dilakukan secara atas talian, selepas sesi sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu dipendekkan kepada hanya untuk titah diraja, berikutan pandemik Covid-19. – 7 Julai, 2020.