Iklan

PM tidak pernah beri arahan kepada SPRM, kata Dzulkifli 

Melati A. Jalil7 years ago4th Dec 2017Berita
Dzulkifli ahmad macc 130917 tmiseth 05
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata beliau tidak pernah berdepan sebarang tekanan politik untuk menjalankan tanggungjawabnya sejak memegang jawatan itu tahun lalu. – Gamar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2017.
Iklan

PERDANA Menteri Najib Razak tidak pernah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa, kata Ketua Pesuruhjayanya Dzulkifli Ahmad. 

Menurutnya, beliau tidak pernah berdepan sebarang tekanan politik untuk menjalankan tanggungjawabnya sejak memegang jawatan itu tahun lalu. 

“Saya ingin nyatakan di sini, sejak 1 Ogos 2016 hingga kini 4 Disember 2017, Perdana Menteri Najib Razak tidak pernah memberi arahan sama ada untuk mengambil tindakan atau tidak terhadap sesiapa. Tidak pernah,” katanya pada satu sesi dialog bersama penuntut universiti di Kuala Lumpur, hari ini. 

Beliau berkata, pentadbiran Najib juga membenarkan SPRM bertindak secara bebas, dan memberi suruhanjaya itu kebebasan mutlak untuk menyiasat atau mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak. 

“Tidak benar SPRM dikawal oleh pemimpin negara. Pentadbiran Najib tidak pernah memberi apa-apa arahan. 

“Ini adalah realiti,” katanya, apabila ditanya oleh ssalah seorang peserta berhubung tekanan politik daripada ahli politik dalam usaha membanteras rasuah.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini SPRM dituduh menjalankan siasatan terpilih, dengan terdapat pihak yang mengkritik agensi anti rasuah berkenaan kerana tidak menjalankan siasatan terhadap kes rasuah di peringkat tinggi. 

Pembangkang turut menyelar SPRM kerana tidak menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low berkata, SPRM tidak menyiasat 1MDB kerana terdapat pihak berkuasa lain, seperti Bank Negara Malaysia, polis dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara telah berbuat demikian. 

Sementara SPRM tidak menyiasat 1MDB, suruhanjaya itu menyiasat RM2.6 bilion yang didakwa Najib sebagai derma daripada Arab Saudi. Ia turut menjalankan siasatan ke atas SRC International.

“Setakat ini, tiada menteri yang memanggil untuk beri tekanan kepada saya atau meminta bantuan, tiada menteri pun,” kata Dzulkifli. 

“Saya rasa mereka takut untuk hubungi saya,” katanya dan menambah semua tindakan yang diambil agensi itu bebas daripada tekanan politik. 

Berhubung siasatan terhadap bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Shafie Apdal, Dzulkifli berkata SPRM hanya membuka kertas siasatan selepas melihat kes itu sama ada ia berasas dengan laporan yang dibuat.

“Mengapa hanya sekarang baru tindakan diambil? Kamu perlu tanya pimpinan SPRM sebelum ini mengapa tiada tindakan diambil sebelum ini. 

“Isunya di sini ialah bukan bila kita ambil tindakan, ia adalah sama ada berlaku penyelewengan ketika itu. 

“Tidak kira ia tahun lepas atau tahun ini, kita masih akan ambil tindakan, tetapi sekiranya tiada penyelewengan, kami tidak akan ambil sebarang tindakan,” katanya merujuk kepada tindakan yang diambil terhadap Shafie. 

SPRM kini sedang menjalankan siasatan terhadap 350 projek luar bandar membabitkan bekalan elektrik dan juga jalan raya, yang diberikan kementerian terbabit kepada 60 syarikat antara 2009 dan 2015 di Sabah. 

Sejumlah RM1.5 bilion peruntukan persekutuan disyaki diseleweng daripada RM7.5 bilion peruntukan untuk Sabah. 

Shafiee mengetuai kementerian berkenaan ketika itu sehinggalah beliau digugurkan daripad kabinet pada Julai 2015. Beliau merupakan antara menteri kabinet yang dilantik oleh Najib pada April 2009. 

Bulan lalu, Shafie dipanggil oleh SPRM berhubung cadangan untuk syarikat mendapatkan projek penyelenggaraan RM43 juta daripada sebuah universiti di Sabah. – 4 Disember, 2017.

Iklan
Iklan