Ketua SPRM masih enggan buka mulut berhubung dakwaan hubungan sulit
Iklan
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad hari ini mengelak untuk menjawab soalan berhubung siasatan dakwaan hubungan sulitnya dengan wanita yang sudah berkahwin.
Dzulkifli baru sahaja tamat sesi dialog dengan pelajar universiti di Hotel Seri Pacific ketika ditanya pemberita mengenai siasatan polis.
Namun bekas timbalan pendakwa raya itu hanya terus beredar ketika ditanya pemberita sama ada beliau sudah memberi keterangan kepada polis.
Semalam, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan polis terhadap kes dakwaan hubungan sulit dengan wanita sudah berkahwin yang dihadapi ketua SPRM itu sudah berada di peringkat akhir.
Fuzi bagaimanapun enggan mengulas sama ada kenyataan Dzulkifli sudah dirakamkan.
“Kertas siasatan dalam peringkat akhir. Kita akan selesaikannya tidak lama lagi,” kata Fuzi kepada pemberita di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur semalam.
Fuzi juga enggan mengulas mengenai kertas siasatan yang diberikan antara Jabatan Peguam Negara dan polis sebanyak tiga kali.
Ini merupakan kali ketiga pihak polis menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara selepas penyerahan sebelum ini dibuat pada 17 dan 30 Oktober.
Dzulkifli dilanda kontroversi selepas video yang mendakwa beliau bercuti bersama seorang wanita yang bukan isterinya di Bali tersebar.
Polis menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana menggoda wanita yang sudah berkahwin.
Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan namun tidak menafikan dirinya adalah lelaki dalam video berkenaan dan hanya berkata beliau tidak akan tunduk dengan “taktik kotor”.
Klip video berkenaan dimuat naik oleh individu yang tidak dikenali di Youtube pada Oktober itu bagaimanapun telah dibuang dari laman perkongsian video berkenaan. – 4 Disember, 2017.