Iklan

Komen menyakitkan di media sosial boleh jejas perpaduan negara, kata PM

Kamles Kumar4 years ago9th Jul 2020Berita
Muhyiddin yassin tmikamal 03
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh rakyat berpegang kepada prinsip dan nilai Rukun Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2020.
Iklan

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat Malaysia yang komen menyakitkan hati di media sosial boleh menjejaskan perpaduan negara.

Beliau menjelaskan walaupun pihak berkuasa sudah menegur pesalah atas komen mereka di media sosial, ia akan terus memberi kesan buruk kepada masyarakat.

“Pada masa lalu, pihak berkuasa menerima banyak laporan mengenai tindakan dan kata-kata yang diucapkan di media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter yang menyinggung perasaan warga lain.

“Walaupun siasatan dilakukan dan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang, ia meninggalkan luka yang mendalam pada perpaduan dan keharmonian masyarakat,” kata Muhyiddin semasa siaran langsung ucapannya sempena ulang tahun sambutan Rukun Negara ke-50.

Presiden Bersatu menggesa rakyat Malaysia mengikut prinsip Rukun Negara yang menjadi landasan pembentukan negara.

“Saya percaya keadaan ini dapat dielakkan jika kita mematuhi prinsip Rukun Negara,” katanya.

Muhyiddin menambah bahawa rakyat Malaysia umumnya adalah orang yang sopan, tidak menyinggung perasaan orang lain atau menimbulkan ketegangan di kalangan masyarakat.

“Kita mempunyai nilai moral yang mulia. Kita adalah orang yang tidak mudah mengucapkan kata-kata tidak senonoh atau melakukan perkara yang akan menghina dan menyinggung perasaan orang lain.

“Bukan sifat rakyat Malaysia untuk bersikap biadab. Bukan sifat rakyat Malaysia untuk bersikap tidak bertimbang rasa,” katanya.

Perdana menteri juga mengingatkan yang kerajaan tidak akan berkompromi ketika berhadapan dengan penghasut.

“Tiada sesiap mengatasi undang-undang. Jika ada sesiapa yang melanggar undang-undang termasuk menimbulkan ketegangan dan khianat, tindakan sewajarnya akan diambil dengan tegas dan pantas tanpa rasa ragu-ragu atau pilih kasih,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Dalam beberapa minggu terakhir, kerajaan mengambil tindakan keras terhadap komen media sosial dengan beberapa pesalah disiasat dan didakwa.

Salah satunya adalah penangkapan pelakon Patrick Teoh pada Jun kerana didakwa menghina Putera Mahkota Johor.

Kerajaan juga sedang menyiasat penyiar antarabangsa Al Jazeera mengenai dokumentari penangkapan pendatang tanpa izin di sini, dan juga memfailkan prosiding penghinaan terhadap Malaysiakini berhubung komen yang ditinggalkan oleh pembacanya mengenai badan kehakiman. – 9 Julai, 2020.

Iklan
Iklan