Iklan

Sri Ram tidak jelaskan bukti umum terhadap Najib, kata Apandi

Bede Hong4 years ago13th Jul 2020Berita
Sri ram
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2020.
Iklan

PEGUAM Gopal Sri Ram tidak menyatakan apa yang beliau maksudkan sebagai domain awam terhadap Najib Razak ketika beliau didaka cuba memujuk bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali untuk menahan bekas perdana menteri pada awal 2018. 

Dalam Afidavit balasan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jumaat lalu, Apandi berkata pada pertemuan di kediamannya pada Januari tahun itu. Sri Ram berkata adalah tugas Apandi untuk membuat Najib ditahan dan didakwa berdasarkan bukti umum yang ada. 

“Sri Ram tidak pernah jelaskan apa bukti domain awam itu,” kata Apandi. 

Apandi berkata Sri Ram menggunakan terma “domain awam” secara longgar dalam afidavitnya kerana dia “tidak berani masuk dalam topik sebenar perbualan kami pada hari itu”.

Menurutnya, beliau juga dipujuk oleh Sri Ram untuk menahan Najib, dan menambah bahawa Sri Ram mengakui dihantar oleh Dr Mahathir Mohamad.

Tambah Apandi, beliau percaya dirinya digugurkan sebagai peguam negara pada 4 Jun, 2018 kerana tidak menurut pemintaan itu. 

Afidavit Apandi, yang mana beliau menyatakan Sri Ram mengunjunginya dan menggesa beliau mengambil tindakan terhadap Najib digunakan dalam semakan kehakiman oleh beas perdana menteri dan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah, yang mencabar kesahan pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam kes jenayah mereka. 

Najib dan Shafee berhujah bahawa kes mereka adalah pendakwaan politik dan dicemari dengan salah laku pendakwaan dan berat sebelah. 

Dalam afidavit balasannya pada Selasa, Sri Ram berkata beliau memang mengunjungi Apandi di kediamannya, namun tujuan utamanya adalah mengenai hal perundangan lain. 

“Dalam perbualan, saya nasihatkan Apandi yang ada bukti dalam domain awam terhadap Najib dan adalah tanggungjawab beliau untuk menahan dan mendakwa Najib,” kata Sri Ram yang menafikan beliau dihantar untuk bertemu Apandi atas arahan Dr Mahathir.

Najib berdepan 42 tuduhan dalam lima perbicaraan jenayah, yang mana tiga daripadanya sedang berjalan. 

Sri Ram, yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri. 

Beliau turut mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan bersama Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy atas tuduhan mengubah laporan audit, perbicaraan rasuah isteri Najib, Rosmah Mansor dan perbicaraan pengubahan wang haram Shafee. 

Sri Ram dalam afidavitnya berkata, ia terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan nasib Najib berdasarkan bukti dalam setiap kes. 

“Dalam semua perbicaraan yang saya kendalikan, pendakwaan memberikan bukti yang relevan dan boleh diterima.”

Apandi merupakan hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai peguam negara pada Julai 2015 susulan pengguguran Abdul Gani Patail. 

Pada Januari 2018, beliau membebaskan Najib daripada salah laku dalam skandal 1MDB. Beliau kemudian digugurkan daripada jawatan itu selepas kejatuhan  kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum dalam tahun yang sama. 

Ketika memberi keteragan dalam perbicaraan SRC International pada Mac, Apandi mempertahankan keputusannya untuk tidak mendakwa Najib pada 2016 berhubung dakwaan derma RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Arab Saudi dan penyalahgunaan dana entiti itu berjumlah RM42 juta.

Beliau turut menafikan penglibatannya dalam cubaan untuk melindungi Najib dan mengulangi kenyataan terdapat kekurangan bukti dalam dakwaan salah laku itu. – 13 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan