Putrajaya perlu berhati-hati di Parlimen, kata Pemuda Umno dan PAS
Iklan
PUTRAJAYA perlu berhati-hati ketika membentangkan usul di Parlimen, kata Pemuda Umno dan PAS.
Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khiruddin memberi amaran kepada kerajaan yang sukar untuk mereka membentangkan usul kerana tidak ada “majoriti” dalam Dewan Rakyat.
“Kerajaan dan menteri perlu berhati-hati bila mereka bentangkan usul. Ada ramai orang dari pembangkang yang akan buat kerja rumah (kajian),” katanya pada forum malam ini di Umno Online.
“Ia akan jadi kerajaan lemah jika kita tak banyak nombor (sokongan wakil rakyat). Terutama bila kita bentangkan usul yang penting untuk rakyat seperti Belanjawan 2021 pada November dan RMK-12,” tambahnya.
Rakan sejawatnya, Ketua Pemuda Umno Aysraf Wajdi Dusuki mencelah dengan mendakwa sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, ia akan memalukan kerajaan semasa.
“Belanjawan akan dibentangkan pada November sekurang-kurangnya 60 kali. Jika mana-mana kementerian tak lepas, apa yang kerajaan ada? Kita tak jangka 111 (jumlah wakil rakyat sokong PN) akan bertahan sehingga November,” katanya.
Usul pertama PN yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini untuk menukar speaker diluluskan dengan sokongan 111 wakil rakyat dan 109 membantah.
Khairil juga menambah yang kualiti perbahasan dan penghujahan usul akan bertambah baik kerana ia akan memberi kesan kepada pengundian usul.
“Kami yakin sidang Parlimen selepas ini akan lebih membina. Pembangkang akan lebih bersedia dan mereka akan berhujah supaya mereka dapat sokongan,” katanya.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof yang diturunkan sebagai speaker Dewan Rakyat menerusi majoriti 2 undi sahaja.
Usul penukaran Ariff diluluskan dengan 111 wakil rakyat menyokong dan 109 membantah daripada 222 kerusi dalam Dewan Rakyat. Dua lagi wakil rakyat tidak terlibat dalam proses pengundian- seorang memilih tidak mengundi, seorang lagi tidak hadir.
Azalina Othman Said pula dilantik sebagai timbalan speaker tanpa pengundian, selepas Nga Kor Ming meletak jawatan hari ini juga. – 13 Julai, 2020.