Iklan

Muafakat Nasional selamatkan Malaysia, kata Pemuda Umno

Kamles Kumar4 years ago13th Jul 2020Berita
49930905507 976ec74dd4 b
Muafakat Nasional dibentuk pada 2019 oleh PAS dan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2020.
Iklan

MUAFAKAT Nasional menyelamatkan negara daripada ambang kehancuran, kata Pemuda PAS dan Umno.

Ketua Pemuda Umno Aysraf Wajdi Dusuki berkata negara dalam keadaan tidak menentu sehinggalah Umno dan PAS memainkan peranan.

“Kami memainkan peranan menyelamatkan negara ketika krisis politik berlaku.

“Tidak ada kerajaan langsung selama seminggu ketika itu,” katanya pada satu forum bersama Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khairuddin yang disiarkan secara langsung di Facebook Umno Online.

Tambah bekas senator itu lagi, negara kerugian lebih RM3 bilion sepanjang seminggu krisis politik itu dan mereka terpaksa membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

“PM juga dilantik oleh Agong secara sementara.

“Kita rugi RM3 bilion ketika krisis seminggu itu. Ini memberikan kita petunjuk yang kita perlu selamatkan negara,” kata Asyraf.

Berbanding mengadakan pilihan raya semula, Asyraf berkata Umno dan PAS cukup berani untuk menerima Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan membentuk PN.

“Kita lebih daripada setuju untuk biar rakyat pilih tetapi Umno dan PAS memutuskan untuk selamatkan negara dan terima Muhyiddin sebagai PM.”

Jelasnya, kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 sangat mengecewakan Umno dan PAS, jadi mereka memutuskan untuk bekerjasama demi manfaat bersama.

“Ia adalah ‘wake up call’ daripada pilihan raya lepas. Jika kita gabungkan dua parti terbesar Melayu, apa hasilnya nanti?” soalnya.

Khairil menambah yang tidak ada masalah untuk PAS dan Umno bekerjasama kerana asas perjuangan mereka adalah Islam.

“Kita dibina atas prinsip sama tetapi mungkin kaedah pendekatan kita berbeza. Umno ambil lebih pendekatan Melayu tetapi kita boleh bekerjasama,” katanya.

Muafakat Nasional dibentuk pada September 2019 oleh Umno dan PAS untuk melawan Pakatan Harapan.

Mereka kemudiannya berganding bahu dengan Bersatu diketuai Muhyiddin Yassin dan kumpulan Azmin Ali yang keluar daripada PKR serta Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk kerajaan semasa. – 13 Julai, 2020.

Iklan
Iklan