Iklan

Ahmad Maslan seru Putrajaya kembalikan BTN, Jasa

Chan Kok LeongKamles Kumar4 years ago14th Jul 2020Berita
Parliament 20200714 afif 11
Ahmad Maslan mahukan Putrajaya menghidupkan semula agensi propaganda kerajaan seperti BTN dan Jasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 Julai, 2020.
Iklan

PERIKATAN Nasional perlu mewujudkan semula agensi propaganda yang pernah wujud ketika era kerajaan Barisan Nasional, seperti Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), kata wakil rakyat Umno Ahmad Maslan.

“Agensi ini adalah antara yang ditutup oleh Pakatan Harapan ketika ia berkuasa.

“Kesan daripada itu, ramai orang hilang kerja dan kerana itu kerajaan perlu menghidupkan semula agensi ini,” kata ahli Parlimen Pontian itu ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

BTN adalah agensi ditubuhkan kerajaan BN pada 1974 bermatlamat menyemai partiotisme dan melatih pemimpin baharu dalam kalangan penjawat awam.

Program BTN, bagaimanapun, diselubungi kontroversi apabila ramai peserta mengadu wujudnya unsur perkauman dan secara terang-terangan mempromosi konsep Ketuanan Melayu dan kesetiaan buta kepada BN.

Pada November 2009, Selangor menjadi negeri pertama menghentikan penghantaran penjawat awamnya ke program BTN. Pulau Pinang melakukan langkah sama pada November 2009.

Pada 18 Ogos 2018, menteri belia dan sukan ketika itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan pemansuhan BTN dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Jasa juga adalah agensi ditubuhkan BN di bawah Kementerian Penerangan pada 1959 selepas pilihan raya umum pertama negara.

Matlamat asalnya adalah untuk memberi penjelasan mengenai inisiatif kerajaan sebelum ia terpesong menjadi promoter BN dan Umno serta alat menyerang pembangkang. – 14 Julai, 2020.

Iklan
Iklan