Iklan

Rakyat menganggur, pemimpin sibuk agih jawatan, kata Anwar

Chan Kok LeongKamles Kumar4 years ago14th Jul 2020Berita
49930168243 8f79dd407e c
Pimpinan negara gigih menambah jumlah menteri dan menambah jawatan dalam GLC, kata Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.
Iklan

DALAM keadaan pengangguran yang begitu meluas, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sibuk mengagih jawatan kepada pemimpinnya, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menyelar Putrajaya kerana tidak berjimat cermat ketika negara sedang bergelut dengan masalah ekonomi.

“Pimpinan negara gigih menambah jumlah menteri dan menambah jawatan dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

“Saya faham, yang dapat jawatan pun banyak kawan-kawan saya, tapi saya kena ingatkan.. 

“Orang menganggur… mencecah kalau dijangka unjuran akhir tahun mungkin satu juta, tapi kita tumpu perhatian untuk mengangihkan kekayaan (pemimpin PN),” kata Anwar ketika perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Presiden PKR itu juga berkata Malaysia seperti kembali ke era pentadbiran Barisan Nasional. 

“Saya bimbang kerana new normal ini dianggap norma baharu meneruskan kerja-kerja yang sama, kebobrokan yang sama, rasuah, pengagihan kerusi yang sama.

“Kita tahu kerosakan ini bukan berpunca dan bermula dari Covid-19. Rasuah menular menjadi sistem yang sistemik dan hampir budaya, yang sukar ditangani melainkan dengan kesungguhan, komitmen suatu budaya yang baru,” katanya.

Anwar juga mempertahankan Dr Mahathir Mohamad (Langkawi) dan Pakatan Harapan (PH) ketika Ahmad Maslan (Pontian-Umno) menuduh mereka tidak serius dalam kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Dalam kes arwah Muhammad Adib, ia di bawah menteri dalam negeri. Dan menteri dalam negeri itu sekarang perdana menteri. 

“Aneh sekali politik di Parlimen ini. Seolah-olah semua itu dipadamkan dan dijurus hanya Pakatan Harapan.

“Saya bukan pendukung kuat Langkawi (Dr Mahathir), tetapi saya harus berlaku adil dalam perkara ini,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merupakan menteri dalam negeri semasa pentadbiran kerajaan PH. 

Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan di kuil Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018. Beliau meninggal dunia pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.  – 14 Julai, 2020.

Iklan
Iklan