Tapisan kendiri pengguna media sosial akan meningkat, kata peguam
Iklan
RAKYAT Malaysia akan mula meningkatkan tapisan kendiri (self-censorship) susulan pihak berkuasa kini mensasarkan pengguna yang meninggalkan komen di media sosial, kata seorang peguam terkemuka.
Rakyat tidak akan bebas menyuarakan pendapat jika pihak berkuasa terus mensasarkan pengguna media sosial, kata Andrew Khoo.
“Rakyat takut. Mereka akan tapis pendapat dan komen mereka. Kita akan masuk ke zaman tapisan kendiri. Kita bimbang mengenai cara merekaA yang mensasarkan pengguna yang tinggalkan komen di media sosial.
“Mereka akan buat laporan polis di seluruh negara. Perkara ini serius,” katanya pada forum dalam talian yang disiarkan di Facebook malam tadi.
Khoo berkata perkara ini terbukti apabila pihak berkuasa baru-baru ini memanggil Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh untuk disoal siasat, dakwaan hina mahkamah terhadap portal berita Malaysiakini, dan siasatan terhadap agensi berita Al Jazeera berkenaan dokumentari mengenai pendatang asing tanpa izin.
Seorang lagi ahli panel, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Hanipa Maidin berkata pihak berkuasa sepatutnya mendidik, bukannya mengenakan tindakan ke atas pengguna media sosial.
Hanipa yang juga ahli Parlimen Sepang, berkata takrif hak asasi manusia meluas, termasuk kebebasan bersuara dan berhimpun, yang mana lebih baik jika dijelaskan dengan sebaiknya kepada rakyat.
“Kita perlu beri takrifan yang lebih meluas ke atas hak asasi manusia. Apabila kita menyekat, ia bukan lagi kebebasan.
“Tidak ada kebebasan mutlak tetapi pada masa yang sama, tidak perlu terlalu banyak sekatan sehingga hak asasi manusia sudah tiada nilainya,” kata Hanipa. – 17 Julai, 2020.