Iklan

Zahid tetapkan sasaran menang majoriti dua pertiga

Radzi Razak7 years ago5th Dec 2017Berita
Zahid hamidi
Naib Presiden Ahmad Zahid Hamidi menetapkan sasaran kepada Umno untuk memastikan Barisan Nasional menguasai semula dua pertiga kerusi di Parlimen dalam pilihan raya umum ke-14 – Foto The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Julai 2017.
Iklan

NAIB Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi malam ini melancarkan semboyan membakar semangat ahli parti untuk bersiap sedia melangkah ke pilihan raya umum ke-14.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menetapkan sasaran kepada anggota partinya untuk memastikan Barisan Nasional menguasai semula dua pertiga kerusi di Parlimen dan bukan hanya sekadar menang mudah.

Mesejnya kepada ahli-ahli Umno agar “turun ke gelanggang sederap serentak” dengan mentaliti untuk menang.

“Umno tidak boleh kalah! BN tidak boleh tewas! Kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan! Insya-Allah Putrajaya akan terus menjadi milik kita, milik Umno, milik Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berucap merasmikan persidangan sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Putera Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Ucapan bertajuk “Lembayung Arjuna Bangsa” merupakan ucapan pembukaan kepada Perhimpunan Agung terakhir parti itu sebelum PRU yang bakal dijalankan tahun hadapan.

Calon boleh menang, wajib taat

Untuk tujuan itu, Ahmad Zahid menyeru para perwakilan untuk menyorot kembali pesanan presiden Najib Razak dalam majlis taklimat khas petang tadi agar semua ahli Umno mengetepikan perbezaan sesama mereka.

Beliau berkata semua calon dipilih oleh Najib akan berdasarkan lima kriteria iaitu boleh menang, disukai, berkemampuan, boleh dipercayai dan bijak.

“Saya mengajak seluruh kepimpinan pergerakan sayap dalam UMNO agar akur dengan keputusan Datuk Seri Presiden dalam menentukan siapa sahaja calon yang akan dipilih nanti.

“Biarlah kita sepakat dan akur sepenuhnya dengan keputusan Datuk Seri Presiden parti. Kita perlu menghayati konsep ‘jiwa jama’ie’. Belajar menerima kelebihan dan kekurangan orang lain serta menyantuni setiap perbezaan,” kata beliau.

Zahid juga menegaskan, bangsa Melayu wajib taat kepada pemimpin seperti yang ditunjukkan dalam karya klasik Melayu ‘Sulalatus Salatin’.

Katanya, ia boleh dilihat dalam persetujuan watak Demang Lebar Daun pada Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana.

“Dalam waad (kisah) tersebut ia menyatakan setiap anak keturunan Melayu wajib taat dan setia kepada pemimpinnya yang ketika itu adalah Sri Tri Buana. Memang ada kebenarannya ia juga ditujukan kepada Raja Raja Melayu tetapi hakikat sebenarnya adalah pemimpin Melayu.

“Setiap anak Melayu hendaklah setia kepada rajanya dan jika ia derhaka maka hukumnya adalah bunuh. Namun begitu raja pula tidak boleh memalukan rakyatnya. Andai perjanjian tersebut diengkari maka akan diterbalikkan oleh Yang Maha Esa, bumbung rumah ke tanah dan tiangnya ke atas,” tambahnya.

Ketepi perbezaan

Zahid turut mengajak semua perwakilan Umno mencontohi presiden dirinya sendiri dalam mengamalkan politik matang.

Jelasnya, mereka sanggup membantu rakyat Pulau Pinang yang ditimpa bencana banjir bulan lalu walaupun negeri diterajui musuh utama mereka, DAP.

“Saya buta warna dalam tiga perkara. Pertama, soal kemanusiaan. Kedua dalam isu pendidikan manakala yang ketiga ialah soal keselamatan. Ingat ketika rakyat ditimpa banjir kita mengetepikan sebarang perbezaan

“Saat saya dihubungi pada jam 3.30 pagi untuk membantu mangsa banjir saya ketepikan perbezaan politik saya ketepikan segalanya. Bak kata pepatah ayam berinduk, sirih berjunjung,” kata Zahid.

Beliau merujuk kepada tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menghubungi beliau untuk meminta bantuan tentera bagi menghadapi bencana itu.

Dalam pada itu beliau turut menyindir parti bekas presiden Umno, Dr Mahathir Mohammad yang kini berdepan tindakan dari Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka.

Melayu pecah enam

“Ada parti pembangkang yang tidak mahu mematuhi peruntukan yang digariskan oleh peraturan dan undang-undang. Tanpa ada mesyuarat cawangan, tiba-tiba ada mesyuarat di peringkat tinggi.

“Perlembagaan parti juga tidak diikuti. Mereka panggil sayap tertentu ikut sesuka hati. Pentadbiran mereka mementingkan diri sendiri.

“Ada presiden tidak bersuara, seolah-olah tiada kuasa. Pengerusi pula bermaharajalela. Membuat keputusan seenaknya,” kata beliau merujuk kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang seolah-olah tidak berfungsi dibayangi Mahathir.

Menurut Zahid kehadiran Pakatan Harapan kini menjadikan masyarakat Melayu dalam blok pembangkang tersebut berpecah kepada enam golongan.

Katanya, golongan itu dinakhodai oleh enam pemimpin berbeza sehingga tiada kesefahaman dan tidak akan berjaya kemana-mana.

“Belum lagi cerita mereka berebut kerusi pilihan raya. Lebih teruk; mereka ada enam ketua dalam sebuah bahtera. Bayangkan apabila kapal itu mula berlayar, enam nakhoda ini memberi arahan yang berbeza.

“Agak-agaknyalah ke manakah bahtera itu hendak menghala? Jawabnya ia berpusing-pusing di tempat yang sama. Pelayaran yang tiada tujuan. Alahai, pi mai pi mai dok tang tu jugak,” katanya lagi sini.

Persidangan sayap-sayap parti Umno bakal bermula pagi esok dan akan berlangsung sehingga Sabtu. – 5 Disember, 2017.

Iklan
Iklan