Iklan

Zahid beri amaran, hukuman berat kepada pemisah Sabah, Sarawak

Radzi Razak7 years ago5th Dec 2017Berita
Umno general assembly 71st tminazir 02 (1)
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi juga berkata kempen dengan slogan 'Sabah Untuk Sabah' dan 'Sarawak Untuk Sarawak' bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Disember, 2017.
Iklan

GERAKAN yang menghasut semangat wilayah mahu Sabah atau Sarawak keluar dari Persekutuan Malaysia adalah kesalahan yang serius dan boleh dikenakan hukuman yang berat, kata  Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. 

Mengambil contoh gerakan pemisah Catalan di Sepanyol, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kempen dengan slogan “Sabah Untuk Sabah” dan “Sarawak Untuk Sarawak” bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia tindakan “bermain api” yang mahu mewujudkan anarki dan ketidakstabilan negara yang “harus kita tentang”.

“Saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua bahawa ini kesalahan yang amat serius dan mereka boleh dihukum dengan hukuman yang berat.

“Tiada sesiapa yang kebal dari segi undang-undang. Perkara ini tidak harus dibenarkan berlaku,” katanya berucap merasmikan persidangan sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi.

Zahid, Naib Presiden Umno yang memangku tugas Timbalan Presiden, berkata hal ini berlaku kerana adanya pemimpin yang terperangkap dalam percaturan dalang-dalang politik bankrap idea dan muflis jiwa. 

“Kerana asakan gelojoh nafsu dan serakah politik bertuankan tok dalang ini mereka rela menjadi bidak-bidak di papan catur,” katanya, tanpa menamakan pemimpin yang beliau maksudkan itu.

Zahid memberi amaran itu ketika Umno, yang kini menguasai 13 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, berdepan kempen agresif parti pembangkang tempatan yang memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Kempen itu bertambah rancak sejak muncul parti baru, Parti Warisan Sabah, yang diterajui oleh bekas Naib Presiden Umno, Shafie Apdal, yang berkempen merebut semula hak itu sebagai tawaran utamanya dalam PRU14 nanti dengan slogan “Rakyat Sabah untuk Sabah”.

Kempen menuntut hak yang sama juga disuarakan oleh kerajaan negeri Sarawak, sehingga baru-baru ini tercetus perselisihan faham antara Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Openg dengan Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia bersabit status Perjanjian Malaysia 1963.

Persidangan tiga sayap Umno diteruskan esok dengan ucapan dasar ketua sayap Pemuda, Wanita dan Puteri diikuti perbahasan dan penggulungan pada sebelah petang.

Umno pula akan mula bersidang pada Khamis sehingga Sabtu. – 5 Disember, 2017.

Iklan
Iklan