Iklan

Pasca Covid-19 beri peluang kerja untuk rakyat di ECRL, kata menteri

ecrl tmi 2020
Lebih ramai rakyat Malaysia akan diambil bekerja untuk projek mega seperti ECRL kerana Putrajaya mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.
Iklan

PROJEK mega seperti Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan memberikan banyak peluang pekerjaan di Malaysia pasca era wabak Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan kepada Parlimen.

Katanya, sejak Putrajaya mula mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, peluang pekerjaan untuk warga Malaysia akan meningkat terutamanya dalam projek berkenaan.

“Salah satu langkah yang diumumkan kementerian adalah untuk mengurangkan pekerja asing dalam pelbagai sektor. Ini termasuklah tiada pekerja asing dalam sektor tertentu sehingga hujung tahun ini.

“ECRL dan projek lain akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia, ini akan memberikan lebih banyak kerja kepada rakyat,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tentang peningkatan kadar pengangguran di Malaysia.

Saravanan menambah yang Putrajaya juga melaksanakan pelbagai jaringan keselamatan sosial menerusi program rangsangan ekonomi Penjana untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

“Kita sudah memberikan RM120,000 kepada mereka yang dibuang kerja tanpa notis. Dengan langkah ini, kerajaan akan mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Kadar pengangguran Malaysia bertambah buruk bulan demi bulan dengan peningkatan daripada 5% pada April kepada 5.3% pada Mei, menurut data Jabatan Perangkaan.

Menurut agensi data negara itu, antara industri yang terjejas teruk disebabkan wabak termasuklah perkhidmatan, pelancongan, pengurusan acara, hiburan dan sukan. – 20 Julai, 2020.

Iklan
Iklan