Putrajaya pertimbang semakan semula harga rumah
Iklan
JABATAN Perumahan Negara sedang mengkaji laporan pendapatan isi rumah dan indeks garis kemiskinan terbaru bagi menilai kemungkinan semakan semula harga rumah mampu milik dibuat, kata Ismail Abd Mutalib.
Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata menurut metodologi pelbagai median yang digunakan kementerian sekarang, terdapat dua kategori perumahan mampu milik.
Kategori pertama melibatkan rumah di bawah harga RM150,000 dan kedua adalah yang berharga antara RM150,000 sehingga RM300,000.
“Jabatan Perumahan Negara sedang meneliti Laporan Pendapatan Isi Rumah dan indeks garis kemiskinan terbaru diumumkan kerajaan baru-baru ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
“Kami harap boleh ambil (tindakan) susulan kajian itu dengan harga rumah yang sepadan dengan pendapatan rakyat.”
Ismail menjawab soalan tambahan dikemukan Mohd Salim Sharif (Jempol-BN) sama ada kerajaan akan menyemak semula harga rumah mampu milik supaya rakyat benar-benar mampu membelinya dan tidak sekadar jadi “rumah mampu tengok” sahaja. – 20 Julai, 2020.