Iklan

Budi bicara saya sokong Najib dikecualikan hadir mahkamah, kata speaker

azhar azizan harun tmi 2020
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau menggunakan budi bicaranya menyokong permohonan Najib Razak dikecualikan hadir bicara kerana ada slot di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.
Iklan

SPEAKER Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata beliau menggunakan budi bicaranya untuk menulis kepada mahkamah menyokong permohonan Najib Razak untuk hadir persidangan Parlimen minggu lepas.

Azhar berkata Najib dijadualkan berucap membahaskan Titah Diraja pada petang Khamis, jadi beliau menulis surat kepada hakim meminta pengecualian Najib daripada hadir perbicaraan kerana kedua-duanya berjalan pada masa sama.

“Saya berpendapat oleh kerana slot Pekan (Najib) untuk berbahas, saya ingin memohon pertimbangan hakim untuk pertimbangkan permohonan beliau untuk hadir ke Parlimen.

“Kita ada doktrin pembahagian kuasa, di mana kuasa mahkamah dan eksekutif adalah sama. Saya bukan mengarahkan tetapi saya memohon pertimbangan hakim. Itu budi bicara saya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Chang Lih Kang (PKR- Tanjung Malim) mempersoalkan keputusan Azhar menulis surat kepada mahkamah sedangkan beliau boleh mengatur semula slot bahas Najib supaya tidak bertembung dengan masa perbicaraan mahkamah.

Rabu lepas, mahkamah tinggi menolak permohonan Najib supaya dikecualikan hadir bicara kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Khamis.

Peguam Najib kemudiannya menghantar surat Azhar memohon bekas perdana menteri itu untuk hadir Parlimen pada masa sama.

Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun juga mengundang kontroversi apabila beberapa wakil pembangkang mempersoalkan tempat duduk mereka di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mempersoalkan mengapa kedudukan tempat duduk wakil Pakatan Harapan tidak berapa selesa tetapi wakil rakyat Perikatan Nasional dapat duduk tanpa penjarakan sosial.

“Kedudukan (pada minggu lepas) selesa, tapi tiada mikrofon dan komputer. Pada hari ini, kami duduk di galeri orang awam yang dikhaskan untuk orang awam. Kalau dulu tempat selesa, sekarang sungguh sempit. Kalau jatuh tersungkur, lagi teruk. 

“Adakah ini cara tuan Speaker nak kekang kami daripada berbahas? Kalau nak bertindak adil, mengapa tak ubah ahli Perikatan Nasional (PN) untuk duduk saksama. Kenapa pembangkang sahaja duduk galeri?” soalnya. 

Beberapa wakil pembangkang lain termasuklah Maria Chin Abdullah (PKR-Petaling Jaya) dan Thomas Su Keong Sing (DAP-Kampar) turut mempersoalkan perkara sama.

Azhar menjawab “tambah baik” kedudukan tempat itu dibuat berdasarkan pemerhatiannya minggu lepas.

“Saya dengan niat yang baik, bukan untuk mengekang (untuk berbahas). Saya fikir duduk di sini lebih baik dan tak berapa gelap supaya kita nampak. Saya sedang berusaha untuk letakkan seberapa banyak mikrofon. 

“Ini untuk percubaan. Sebab itu kita nak cuba buat (perubahan tempat duduk), saya engage dengan parti whip, bukan buat secara unilateral. Kita dalam keadaan Covid-19.  Kalau dapati tak sesuai,  kita akan ubah semula,” katanya.  – 20 Julai, 2020.

Iklan
Iklan