Kerajaan perlu siasat tuduhan terhadap Universiti Limkokwing, kata bekas timbalan menteri
Iklan
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi perlu menyiasat Limkokwing University of Creative Technology (LUCT) secara menyeluruh kerana terdapat banyak tuduhan di media sosial terhadap universiti itu, kata Dr Ong Kian Ming.
Ahli Parlimen Bangi itu berkata, kementerian perlu melihat dakwaan perkauman terhadap pelajar Afrika di universiti itu.
“Adakah kementerian sedar mengenai banyak tuduhan di media sosial termasuk pelajar Afrika tidak dibenarkan menjadi duta universiti di pameran pemasaran bagi pengajian tinggi,” soalnya ketika membahaskan titah diraja di Parlimen hari ini.
Beliau berkata terdapat sebuah laman web menyenaraikan semua tuduhan terhadap LUCT.
“Saya tidak dapat memastikan sama ada dakwaan itu benar atau tidak, tetapi saya cadangkan kementerian menyiasatnya secara menyeluruh agar dakwan itu tidak mencemarkan imej negara atau institusi pendidikan tinggi di negara ini,” katanya.
Kementerian telah memberitahu Ong dalam jawapan bertulis minggu lalu bahawa pihaknya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada LUCT mengenai papan iklan kontroversi yang menunjukkan pengasasnya sebagai “Raja Afrika.”
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata, kerajaan mahukan penjelasan berhubung papan iklan tersebut walaupun pihak universiti telah meminta maaf.
“Kementerian memandang serius tuduhan perkauman terhadap LUCT yang menjadi viral di media sosial. Kementerian telah mengeluarkan surat tunjuk sebab untuk meminta penjelasan lebih lanjut dari LUCT,” katanya. https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/261016
Papan iklan menunjukkan ilustrasi digital Lim yang berdiri dengan seekor cheetah di sebelah kiri dan dikelilingi pelajar di Sierra Leone di sebelah kanan.
Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu juga berkata terdapat satu lagi tuduhan bahawa LUCT mengambil pensyarah tanpa kelayakan.
“Terdapat juga tuduhan serius mengenai klip audio, yang mana kakitangan bukan akademik dipaksa memohon untuk menjadi pensyarah walaupun mereka tidak berkelayakan,” kata Ong.
Beliau mencadangkan kementerian dan juga Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menyiasat perkara itu dengan teliti kerana ia boleh mencemarkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Saya menggesa kementerian termasuk MQA untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan komprehensif untuk menjaga nama baik negara,” kata Ong. – 20 Julai, 2020.
Berita penuh di sini.