Iklan

Kempen undi rosak beri laluan mudah kepada BN untuk terus berkuasa

Noel AchariamMelati A. Jalil7 years ago6th Dec 2017Berita
Permatang pauh byelection 20150428 tmihasnoor 02
Penganalisis politik dan pihak pembangkang percaya kempen undi rosak di kalangan media sosial Cina disasarkan kepada pengundi yang kecewa kerana perubahan kerajaan persekutuan masih belum berlaku. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2017.
Iklan

Kempen media sosial untuk merosakkan undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh menyebabkan jumlah pengundi keluar rendah dan ia yang hanya akan memudahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa, kata ahli Parlimen pembangkang dan penganalisis.

Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP, Ong Kian Ming berkata beliau percaya kempen undi rosak di kalangan media sosial Cina disasarkan kepada pengundi yang kecewa kerana perubahan kerajaan persekutuan masih belum berlaku.

Kempen itu mungkin menyebabkan bilangan pengundi yang keluar lebih rendah di kalangan masyarakat Cina, yang disifatkan beliau bakal menjadi bencana kepada parti pembangkang.

“Kami (Pakatan Harapan) menyedari kempen sebegini boleh bilangan keluar pengundi di kalangan masyarakat Cina menurun.

“Ini lebih teruk daripada merosakkan undi seseorang kerana kebanyakan orang yang bersusah payah untuk hadir membuang undi mungkin tidak akan merosakkan undi mereka,” kata ahli Parlimen Serdang kepada The Malaysian Insight.

“Strategi kami adalah untuk meyakinkan rakyat yang undi mereka sangat penting dan perbuatan merosakkan undi bukan sahaja akan menghantar mesej yang salah, tetapi kemungkinan besar akan membantu BN untuk terus berkuasa,” katanya.

Jumlah pengundi yang keluar pada PRU13 adalah 80% daripada 13.3 juta pengundi berdaftar ketika itu, merupakan jumlah tertinggi bagi pilihan raya Malaysia, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

The Malaysian Insight semalam melaporkan kempen “rosakkan undi anda” sedang giat berlegar di kalangan media sosial berbahasa Cina.

Satu tinjauan terhadap tiga laman Facebook berbahasa Cina yang mempromosikan kempen itu menunjukkan banyak kekecewaan itu disasarkan kepada DAP, yang memperoleh sokongan kuat daripada komuniti berbahasa Cina.

Penganalisis politik mengatakan kempen itu mencerminkan trend kelesuan dan ketidakpuasan hati mereka terhadap ahli-ahli politik Malaysia di kedua-dua belah pihak, kerana pertelingkahan antara mereka yang semakin menjadi-jadi menjelang PRU14 tahun depan.

Ia boleh menyebabkan kehancuran bagi gabungan parti pembangkang yang memerlukan jumlah pengundi lebih tinggi untuk menawan Putrajaya.

Pengarah Pilihan Raya Amanah, Mohd Hatta Ramli berkata Pakatan Harapan (PH) perlu memperlihatkan diri mereka sebagai alternatif yang berdaya maju untuk mengatasi gerakan tersebut.

“Inilah yang kita lakukan sekarang, kita akan keluar dengan manifesto dan kepimpinan masa depan (line-up), seperti siapa yang akan menjadi perdana menteri interim.”

Bagaimanapun, Hatta berkata kempen sedemikian tidak pernah berkesan dalam pilihan raya di Malaysia, yang menunjukkan pilihan raya kecil Kuala Kangsar pada Jun 2016 apabila BN mengekalkan kerusi itu dalam pertarungan empat penjuru.

“Malah pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar, apabila kita melihat orang Cina tidak benar-benar menyokong PH, kita tidak melihat banyak undi rosak.

“Ini bukan fenomena dalam pilihan raya Malaysia. Walaupun ada kebosanan terhadap politik, saya tidak fikir pengundi yang sanggup keluar untuk mengundi akan merosakkan undi mereka,” katanya.

Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata berdasarkan penglibatan parti dengan pengundi, sentimen rosakkan undi nampaknya tidak begitu meluas.

“Kami menyedari mood pada 2013 lebih positif dan boleh diharapkan (di kalangan orang Cina) tetapi kali ini, terdapat lebih banyak kemarahan. Tetapi mereka masih boleh marah dan tetap mengundi, sama ada PH, BN atau sesiapa sahaja.”

“Salurkan kemarahan untuk membuat perbezaan positif bagi negara,” katanya, sambil menambah walaupun sokongan Cina untuk PH kekal kukuh, ia tidak akan pergi lebih jauh berbanding tahap yang dicapai pada PRU13.

Nik Nazmi juga menggesa belia untuk berdialog sebelum membuat keputusan semasa mengundi.

“Sama ada mereka mahu menyokong BN atau PH dan mendorong perubahan di negara ini. Dengan merosakkan undi, mereka berada di tengah atau menyokong Najib.

“Perkara bukan ideal tetapi PH komited untuk berubah,” katanya.

Apa yang perlu dilakukan oleh PH?

Kesan kempen undi rosak yang diterjemahkan ke dalam jumlah keluar mengundi yang rendah adalah berkemungkinan, apa yang parti dalam PH harus bincangkan dan rancang sekiranya ia benar-benar berlaku, kata Wong Chin Huat, ketua program pengajian politik Institut Pulau Pinang.

“Ini mungkin bermula dengan ramalan kurang memberangsangkan bagi hasil PRU14 untuk mengelakkan keyakinan keterlaluan pengundi terhadap peluang pembangkang,” katanya.

“Jumlah keluar mengundi yang rendah mungkin akan menjejaskan pembangkang dalam kerusi marginal, terutamanya kerusi campuran yang akan ditandingi PKR, Amanah dan Bersatu.

“Pada 2013, BN memenangi 45% hingga 55% undi di 62 kawasan Parlimen di Semenanjung. Tiga puluh lima daripada 62 pemilih ini mempunyai sekurang-kurangnya 20% pengundi Cina, dan 16 daripada 35 dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

“Kadar keluar pengundi Cina sangat rendah, walaupun tanpa pertembungan pelbagai penjuru, boleh menyerahkan 16 kawasan pilihan raya campuran marginal ini kepada BN.

“Sudah tentu, PH akan kehilangan lebih banyak jika dua faktor lain berlaku, pertembungan berbilang penjuru dan persempadan kawasan baru,” katanya, merujuk kepada perbicaraan di mahkamah berhubung cadangan persempadanan semula SPR, yang disifatkan pengkritik akan memihak kepada BN. – 6 Disember, 2017.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan