Iklan

Negara rugi RM2 bilion sehari jika PKP dilaksanakan lagi, kata PM

Kamles Kumar4 years ago20th Jul 2020Berita
Muhyiddin yassin tmikamal 04
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata usaha kerajaan menyalurkan RM295 bilion untuk selamatkan ekonomi negara semasa wabak Covid-19 akan menjadi sia-sia jika PKP dilaksanakan untuk kali kedua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2020.
Iklan

MALAYSIA bakal mengalami kerugian RM2 bilion sehari jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi amaran.

Susulan lonjakan kes yang berlaku baru-baru ini, beliau berkata jika tindakan itu diambil semula, ekonomi negara akan hancur.

“Sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP, impaknya kepada ekonomi amat besar. 

“Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia,” kata Muhyiddin dalam pengumuman khas hari ini.

Beliau berkata ini akan menyebabkan segala usaha kerajaan menyalurkan RM295 bilion untuk menyelamatkan ekonomi negara semasa wabak tersebut menjadi sia-sia.

“Ia juga akan menidakkan usaha-usaha kerajaan, sektor swasta dan NGO di bawah pakej Prihatin dan Penjana yang bertujuan untuk memulih dan menjana semula ekonomi,” kata Muhyiddin.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan kira-kira 800 perniagaan dan 2.75 juta pekerjaan dapat diselamatkan di bawah pelbagai usaha bersasar kerajaan.

Muhyiddin juga berkata sebanyak RM11.14 bilion bantuan tunai diberi kepada rakyat dan hampir 1.4 juta pemandu e-hailing menerima RM500.

Kerajaan juga memberikan potongan 50% untuk bil elektrik kepada 7.7 juta pengguna dan 15% lagi untuk 1.4 juta pengguna yang berjumlah RM185.75 juta, katanya.

Kadar pengangguran Malaysia pula bertambah buruk, dari 5% pada April menjadi 5.3% pada Mei menurut Jabatan Perangkaan.

Jabatan itu berkata industri yang terjejas teruk adalah perkhidmatan, pelancongan, pengurusan acara, hiburan dan sukan. – 20 Julai, 2020.

Iklan
Iklan